KUALA LUMPUR – Exco Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Dr. Ahmad Yunus Hairi menganggap penganjur konsert yang mempromosi pergaulan bebas ke atas masyarakat Malaysia seperti `Future Music Festival Asia’ (FMFA) 2014 sebagai pengkhianat negara.
Beliau berkata, penganjur konsert itu melakukan pengkhianatan kepada rakyat dengan cuba menerapkan budaya amalan songsang konsert liar dan pergaulan bebas masyarakat barat ke atas masyarakat Malaysia terutama golongan belia.
“Saya berasa dukacita di atas kemalangan jiwa enam remaja semasa penganjuran konsert liar FMFA 2014 di Stadium Bukit Jalil pada 14 Mac lalu disebabkan pengambilan dadah. Lebih saya kesali mereka remaja harapan negara di masa hadapan (pelajar institusi pengajian tinggi awam).
“Oleh itu, saya mengecam penganjur konsert itu yang melakukan pengkhianatan kepada Malaysia,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, Ahmad Yunus menggesa kerajaan Persekutuan menghentikan semua konsert atau program untuk golongan muda yang berbentuk hiburan dan berseronok.
Dakwanya, program seperti itu tidak dapat membentuk jati diri rakyat anak Malaysia yang kompeten dan berdaya saing pada masa hadapan.
“Kerajaan Persekutuan sepatutnya mencontohi kerajaan Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang dalam melahirkan belia negeri itu yang amat berakhlak,” dakwanya.

0 comments:
Post a Comment