PUTRAJAYA – Sekumpulan pasukan kesihatan ditempatkan di The Everly Hotel di sini untuk menangani kes-kes trauma dalam kalangan waris dan keluarga penumpang pesawat MH370 yang dilaporkan hilang awal pagi semalam.
Menurut seorang petugas kesihatan yang enggan namanya disiarkan, sebanyak 25 petugas kesihatan termasuk doktor dan jururawat bertugas secara giliran.
Katanya, setiap kumpulan dianggotai lima orang yang bertugas selama enam jam.
“Kami bertugas untuk menenangkan keluarga penumpang yang trauma dan setakat ini terdapat beberapa ahli keluarga penumpang telah dirawat,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Katanya pasukan kesihatan berkenaan dipanggil ke hotel itu setelah beberapa anggota keluarga penumpang pesawat MH370 mengalami trauma yang teruk.
“Kami diberitahu kekecohan (trauma) bermula di KLIA dan mereka (anggota keluarga) dipindahkan ke sini bagi mengelakkan kekecohan yang lebih serius. Ada di antara yang dirawat tadi dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya.
Seorang lagi pegawai kesihatan berkata anggota keluarga penumpang pesawat ditempatkan di sini bagi memberi lebih privasi kepada mereka daripada pihak media, disebabkan kedudukan hotel yang agak jauh dengan lapangan terbang.
Sementara itu, seorang petugas Malaysia Airline (MAS) yang bertugas di sini berkata hampir kesemua keluarga penumpang MH370 ditempatkan di The Everly Hotel di sini sebelum diterbangkan ke satu destinasi yang belum dipastikan.
Katanya setiap dua anggota keluarga bagi setiap penumpang MH370 diminta membawa pasport sebagai persediaan jika diterbangkan ke destinasi yang belum ditetapkan itu.
Pesawat 777-200 ke Beijing dari Kuala Lumpur yang membawa 239 penumpang termasuk dua bayi dan 12 anak kapal itu setakat ini telah lebih 24 jam dilaporkan hilang.- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment