BAGI anda pernah tinggal atau belajar atau bekerja di Shah Alam, pasti pernah mendengar mengenai kisah rumah sewa RM50.
Bahkan, ada juga mereka yang tinggal di luar Shah Alam mengetahui mengenai kisah mengenai sebuah rumah yang disewakan dengan harga murah kepada pelajar atau pekerja.
Dek kerana harga yang murah, ramai yang tertarik untuk menyewa di situ, namun malangnya tidak ramai yang bertahan untuk menyewa di situ selama sebulan.
Rentetan daripada kisah itu, M Jamil membawakan sebuah filem Rumah Sewa RM50, yang digarap semula berdasarkan kisah tersebut.
Filem yang membariskan M Jamil, Delimawati, Boy Iman, Ery Zukhairi, Amirulshah, Raji Simran, Mayumi Kasuga, dan Yulina itu mengisahkan tentang sekumpulan lima sahabat sekerja bernama Wan, MJ, Cassandra, Raji dan Hazel yang mencari rumah sewa.
Mereka gembira kerana berjaya mendapatkan rumah sewa dalam waktu singkat walaupun rumah tersebut terletak jauh sedikit dari hiruk pikuk bandar. Tapi yang paling penting, rumah sewa tersebut amatlah murah.
Tanpa berfikir panjang, mereka bersetuju untuk menyewa rumah tersebut walaupun tuan rumah telah menceritakan perihal rumah tersebut kepada mereka.
Semasa mengemas rumah sewa baru mereka, ada di antara lima sahabat dengan tidak sengaja telah membangkitkan ‘mereka’ yang telah lama menghuni rumah tersebut. Hari pertama mereka mendiami rumah tersebut, Cassandra telah dirasuk.
Semasa mereka mencari punca perkara itu berlaku, Hazel dan Raji pula menghilang secara tiba-tiba. Wan dan MJ buntu mencari punca semua peristiwa itu terjadi sehingga menyebabkan Wan mengambil keputusan untuk meninggalkan rumah tersebut.
Pelbagai peristiwa pelik dan menyeramkan berlaku malam itu. Ke mana Hazel dan Raji menghilang? Bagaimana pula dengan Cassandra? Dapatkah MJ dan Wan menyelamatkan rakan-rakan perempuan mereka? – Sinar Harian
0 comments:
Post a Comment