Tertuduh (tengah) keluar dari mahkamah selepas tuduhan dibuat, semalam.
KOTA BHARU - Seorang remaja berusia 19 tahun mengaku salah di mahkamah majistret di sini, semalam, atas tuduhan miliki dua pistol tiruan di sebuah rumah kedai di Kemumin, Pengkalan Chepa.
Hukuman bagaimanapun ditangguhkan kerana menunggu laporan sosial berikutan usia yang masih muda.
Muhammad Azizul Azli Hasnul didakwa memiliki senjata tiruan di sebuah rumah kedai tersebut pada jam 2.30 pagi, 28 Disember lalu.
Pada prosiding itu, tertuduh tidak menafikannya namun peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kelantan membuat permohonan untuk mendengar laporan sosial tertuduh terlebih dulu.
Dalam serbuan lalu, anggota polis memeriksa sebuah bilik di rumah kedai terbabit sebelum menjumpai sepucuk pistol dan enam peluru. Sepucuk lagi dijumpai bersama kelopak kosong dan sebungkus bebola plastik putih.
Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih setahun atau dengan denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya negeri menawarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin, Majistret, Nik Habri Muhamad pula membenarkan jaminan RM3,500. Kes ditetapkan sebutan semula pada 21 Januari depan.
0 comments:
Post a Comment