KUALA LUMPUR – PAS Perak menyeru masyarakat menolak kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang melabelkan peserta perhimpunan di Dataran Merdeka di sini baru-baru ini sebagai golongan bughah (penderhaka) yang halal darah mereka.
Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata, kenyataan tersebut sangat berbahaya kerana boleh membawa kepada huru-hara kerana fatwa seumpama itu boleh membawa kepada pertumpahan darah sesama rakyat negara ini.
“Adakah kebangkitan rakyat menentang kenaikan harga barang yang melampau ini dikatakan sebagai penderhaka kepada kerajaan?. Kenyataan Mutfi Perak yang melabel peserta perhimpunan pada 31 Disember lalu sebagai ‘bughah’ dan halal darahnya adalah fatwa yang salah.
“Perhimpunan itu cuma melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kenaikan harga barangan yang dimulakan dengan bahan asas iaitu minyak petrol dan diesel dan berlarutan sehingga kenaikan tarif elektrik dan tol,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, Razman meminta Mufti Perak supaya peka dengan undang-undang demokrasi kerana undang-undang perhimpunan aman didakwa salah satu cara untuk rakyat menyatakan pandangan.
Harussani sebelum ini menggelar peserta perhimpunan pada malam sambutan ambang 2014 di Dataran Merdeka sebagai golongan bughah yang halal darah mereka kerana ia sesuai dengan apa yang terkandung dalam ajaran Al Quran.
Mufti Perak itu dipetik berkata, kenyataan asal beliau adalah berdasarkan demonstrasi yang berhasrat untuk menggulingkan kerajaan berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat tetapi nama “guling kerajaan” telah ditukar kerana tidak mendapat sokongan ramai dan diganti dengan Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun).
0 comments:
Post a Comment