KUANTAN – Mangsa banjir di sini terutama dari kalangan pelajar sekolah yang baharu memulakan sesi persekolahan mereka semalam terus mendapat bantuan.
Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) dengan kerjasama syarikat pengeluar makanan ringan Mamee-Double Decker (M) Sdn Bhd hari ini menyumbang pek kelengkapan persekolahan kepada 1,312 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Isap Murni dan SMK Sungai Isap.
Ketua Pegawai Eksekutif YR1M, Ung Su Ling berkata, pek kelengkapan tersebut mengandungi beg, alat tulis, pakaian, kasut, stokin yang disumbangkan kepada 667 pelajar SMK Sungai Isap Murni dan 645 pelajar SMK Sungai Isap.
Beliau berkata, penerimanya termasuk pelajar kedua-dua sekolah itu yang menyertai klinik bola sepak khas iaitu salah satu program bagi Kejohanan Bolasepak Piala Mamee 1Malaysia.
“Kejohanan Bola Sepak Piala Mamee 1Malaysia diilhamkan oleh perdana menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) yang juga Pengerusi YR1M dalam usaha memupuk minat yang lebih mendalam terhadap sukan bola sepak bermula di bangku sekolah.
“Sumbangan ini juga membuktikan komitmen kami untuk membantu mereka yang terlibat dalam kejohanan tersebut dan kami harap sumbangan ini dapat melancarkan lagi persekolahan pelajar bagi tahun baharu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ung berkata, Mamee-Double Decker (M) Sdn Bhd turut menderma wang tunai RM5,000 kepada setiap sekolah selain menyumbangkan produk keluaran syarikat itu. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment