PETALING JAYA – Polis akan bertugas mengawal sekitar gereja pada Ahad walaupun Umno Selangor mengumumkan mereka tidak akan mengadakan sebarang demonstrasi di hadapan gereja berhubung isu penggunaan kalimah Allah di kalangan orang bukan Islam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan mengesahkan anggotanya akan dikerahkan untuk berkawal bagi memastikan tiada insiden tidak diingini berlaku.
“Kami sentiasa bersedia (untuk sebarang kemungkinan).
“Apa saja yang mereka (Umno Selangor) atau kumpulan lain katakan sama ada untuk mengadakan demonstrasi atau tidak, kami harus berwaspada. Ia tugas kami,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Terdahulu, Shukri meminta sesiapa saja supaya bertenang dan bertindak rasional berhubung isu sensitif tersebut.
Beliau turut menggesa mereka yang merancang untuk mengambil tindakan lain – termasuk menghantar memorandum kepada pihak gereja – untuk mempertimbangkan semula rancangan mereka.
Shukri berkata, terdapat cara yang lebih baik berbanding berarak dalam satu kumpulan yang besar untuk menyerahkan memorandum tersebut.
Beliau turut memberi amaran kepada orang ramai bahawa tindakan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 akan dikenakan terhadap mana-mana kumpulan yang mengadakan perhimpunan haram.
“Namun sekiranya mereka mematuhi arahan polis untuk bersurai, tiada tindakan akan diambil,” katanya. - mStar Online
0 comments:
Post a Comment