KUALA LUMPUR – Tiada individu akan terlepas daripada tindakan pihak berkuasa atas kesalahan mengeluarkan kenyataan menyentuh sensitiviti agama di negara ini walaupun menerusi laman sosial di luar negara.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis akan mengambil tindakan tegas bagi memastikan tiada individu sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab seperti itu yang dikhuatiri akan mencetuskan perbalahan antara kaum.
“Sebarang komen terhadap mana-mana agama akan kita ambil tindakan, meskipun kenyataan itu dikeluarkan oleh individu melalui laman sosial di luar negara yang menyentuh agama di sini (Malaysia),” katanya kepada pemberita selepas majlis serah/terima tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Seri Syed Ismail Syed Azizan yang bersara wajib kepada Timbalan Pengarah 1 JSJK Datuk Tajudin Isa yang memangku jawatan itu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan pemilik akaun Facebook dikenali sebagai Man Namblast yang dikatakan telah memuat naik status menyentuh sensitiviti agama Hindu ketika perayaan Thaipusam lepas.
Khalid berkata polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang mengesan pemilik akaun Facebook berkenaan.
“Setakat ini belum ada tangkapan…perkara seperti ini ada kalanya kita dapat kesan awal ada kalanya perlukan masa terutamanya apabila ia dibuat di luar negara tetapi kita tetap akan kesan dan ambil tindakan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata kes tembakan rambang di 46 premis perniagaan di sekitar bandaraya Kota Kinabalu, Sabah dianggap selesai selepas polis menahan lima lelaki yang dipercayai kumpulan samseng dan penarik kereta.
“Kita dah tangkap lima orang ini dari kalangan gengster tempatan dan geng penarik kereta dan kita rasa kita dapat selesaikan kes ini,” katanya.
Dalam kejadian dua hari iaitu pada 10 dan 11 Januari lepas itu, sekumpulan lelaki telah melepaskan tembakan ke arah premis di sekitar bandaraya Kota Kinabalu yang bermula (menembak premis) di Inanam, Gaya Street, kawasan Wawasan Plaza dan Times Square, Luyang, Damai sebelum berakhir di Penampang. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment