MUNGKIN ramai yang tidak tahu, ada pusat membeli-belah terkemuka di negara ini yang mengenakan kadar sewa hingga dua kali ganda lebih tinggi kepada jenama tempatan berbanding jenama luar negara.
Pengarah Urusan Habib Jewels Sdn Bhd (Habib), Datuk Meer Habib berkata, ada sesetengah pusat membeli-belah terutamanya yang besar dan termasuk yang dimiliki syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mengenakan sewa yang dianggap agak mahal dan tidak berpatutan.
"Mereka mengenakan sewa yang lebih tinggi sehingga dua kali ganda kepada jenama tempatan dan harga yang rendah kepada jenama antarabangsa.
"Setiap bulan saya membayar RM100,000 hingga RM200,000 bagi setiap cawangan Habib," katanya.
Beliau berkata, pemilik pusat membeli-belah perlu lebih prihatin dengan memberikan kadar sewa yang adil dan sama rata kepada jenama tempatan dan jenama luar.
Menurutnya, pusat membeli-belah mengenakan sewa lebih murah kepada jenama luar kerana ingin menarik jenama terkenal antarabangsa ke tempat mereka.
Katanya, trend ini juga didorong oleh mentaliti orang Malaysia yang masih menganggap jenama luar negara lebih baik dan berkualiti sedangkan ada jenama tempatan yang lebih baik dan diiktiraf antarabangsa.
"Masa pusat membeli-belah tidak popular lagi, pihak pengurusan akan panggil (jenama tempatan) untuk sewa, bila dah berjaya dan dikenali, mereka ambil jenama luar dan abaikan jenama tempatan.
"Mungkin kerana kalau ada jenama luar, pusat membeli-belah itu akan kelihatan lebih hebat," katanya.
Beliau juga pernah membangkitkan isu itu kepada kerajaan namun sehingga kini tiada tindakan diambil.
0 comments:
Post a Comment