Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Friday, September 6, 2013

No Comment

KUALA LUMPUR - Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM), satu-satunya manifestasi transformasi kerajaan yang paling menyeluruh dan paling besar, dalam mendatangkan pulangan terbaik modal insan untuk memacu segala hasrat pembangunan negara.

Timbalan perdana menteri yang juga menteri pendidikan berkata pelan itu dihasilkan demi masa depan anak-anak Malaysia yang merupakan harta yang tidak ternilai bagi bumi tercinta ini kerana di tangan merekalah kemajuan negara akan dipertaruhkan.

“Sekiranya pelan ini begitu komited untuk menyediakan anak-anak dengan kemahiran dalam enam aspirasi murid, adalah lebih baik dan molek jika dapat disambut dengan baik, dengan penuh rasa tanggungjawab, agar perencanaan ini dapat dilaksanakan sepenuhnya dan menghasilkan kejayaan yang dicita-citakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan PPPM bagi tempoh 2013 hingga 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.

Yang turut hadir Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh, Timbalan-timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap Kain Cheng dan P. Kamalanathan serta Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud.

Muhyiddin berkata dasar pendidikan sedia ada yang berasaskan kepada Akta Pendidikan masih dipertahankan dalam PPPM.

Beliau berkata kementerian tidak berhasrat meminggirkan mana-mana aliran persekolahan yang wujud di negara ini, malah akan memastikan setiap murid di Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan mendapat akses, ekuiti dan kualiti pendidikan.

“Kewujudan Sekolah Jenis Kebangsaan juga dijamin oleh Akta Pendidikan 1996 (Seksyen 28) dan ingin saya nyatakan di sini bahawa kedudukan bahasa-bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah ini tidak pernah dinafikan sama sekali.

“Malah, peluang dan ruang dibuka untuk pendidikan bahasa tambahan selain Tamil, Cina atau Mandarin, bahasa Arab, Bidayuh, Dusun dan lain-lain kita tidak sekat dan halang.

“Lebih ramai anak-anak kita dapat menguasai bahasa lain lebih baik untuk mereka dan negara,” katanya.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan juga akan terus memartabatkan bahasa Melayu dan memberi perhatian utama terhadap bahasa Inggeris yang akan dijadikan mata pelajaran Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) wajib lulus menjelang tahun 2016.

“Saya sedang teliti kerana kita mempunyai sejumlah sekolah yang sudah pun satu sesi dan 1,600 sekolah dua sesi akan dijadikan satu sesi maka tempoh persekolahan boleh dilanjutkan umpamanya tambah satu dua jam lagi.

“Itu boleh digunakan untuk tambah contact hour untuk pendedahan bahasa Melayu, bahasa Inggeris atau pun bahasa lain di seluruh negara,” katanya.

Bagi memperkukuh kedua-dua bahasa itu, Muhyiddin berkata pelan itu menggariskan beberapa inisiatif antaranya menambah baik Kurikulum Bahasa Melayu di SJK.

Menurutnya bagi murid yang lemah, kelas pemulihan akan diadakan di luar waktu persekolahan dan ini tidak akan menjejaskan waktu pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran ini.

Muhyiddin berkata seramai 9,000 guru bahasa Inggeris akan mengikuti latihan Cambridge Placement Test (CPT) Oktober ini dengan kerjasama British Council.

Bagi mengupayakan pelaksanaan pelan itu, beliau berkata Kementerian Pendidikan telah mewujudkan entiti khas yang dinamakan Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (Padu) untuk memantau dan memastikan kejayaan inisiatif yang digariskan.

Muhyiddin berkata unit itu yang akan mengaplikasi prinsip-prinsip pengurusan bersifat korporat, dianggotai pegawai-pegarwai berbakat dari dalam dan luar kementerian kerana pelaksanaan pelan ini menuntut kesungguhan yang kental dan kemahiran pengurusan yang cekap, lagi berwibawa.

Beliau berkata melalui Padu, kementerian berhasrat menyediakan laporan tahunan dan status pencapaian inisiatif sebagai maklumat kepada semua pihak.

“Kerajaan akan terus mendapatkan pandangan rakyat dengan mengadakan dialog pada akhir setiap gelombang.

“Semua tindakan ini dilakukan bagi memastikan pelaksanaan adalah pada landasan yang betul dan penjajaran semula akan dilakukan sekiranya perlu,” katanya.

Beliau berkata inisiatif yang dirancang dalam 11 anjakan pelan itu perlu melibatkan komitmen keseluruhan rakyat kerana daripada rakyatlah tercetusnya ilham merangka inisiatif berkenaan.

“Bagaimana mungkin kementerian melaksanakan secara sendirian tanpa melibatkan semua pihak yang berkepentingan untuk memastikan pelaksanaan PPPM ini benar-benar berjaya,” katanya.

Beliau berkata gandingan pihak swasta secara lebih meluas dan meletakkan rasa kebertanggungjawaban pihak swasta terhadap kemajuan pendidikan negara kita juga merupakan satu strategi menentukan kejayaan PPPM.

“Kementerian telah melaksanakan Teach for Malaysia dan Sekolah Amanah dengan melibatkan pihak swasta.

“Sekolah Amanah akan ditambah kepada 500 buah menjelang tahun 2025 dengan melibatkan alumni dan NGO yang berpotensi,” katanya.

Muhyiddin berkata pendidikan khas yang inklusif juga tidak dilupakan Kementerian Pendidikan dan dimasukkan sebagai satu intipati penting dalam PPPM.

“Dalam pelan awal, mungkin kita tak sebutkan dengan secara spesifik mengenai pendidikan khas ini, jadi mereka dari kepimpinan dan persatuan yang mewakili pendidikan khas orang kelainan upaya (OKU) ini tanya kenapa tak diberi perhatian mengenai mereka.

“Jadi kita adakan makmal khas, kita masukkan segala cadangan mereka sebagai satu initipati penting dalam PPPM, khusus untuk anak-anak kita yang OKU,”katanya.

Dokumen lengkap PPPM setebal 300 muka surat menyatakan dengan terperinci lma aspirasi sistem dan enam ciri murid yang akan dicapai dalam tempoh 13 tahun akan datang.

Ia memberi tumpuan kepada keberhasilan murid merangkumi semua peringkat persekolahan iaitu daripada peringkat prasekolah hingga ke peringkat lepasan menengah.

Laporan awal PPPM dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 11 September tahun lepas. – BERNAMA


BERITA
Jumaat September 6, 2013
Soalan UPSR, SPM Berbentuk Pemikiran Aras Tinggi Menjelang 2016
KUALA LUMPUR: Sebanyak 40 peratus soalan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan 50 peratus soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan berbentuk pemikiran aras tinggi menjelang 2016.

Perubahan dalam reka bentuk peperiksaan itu bermaksud guru tidak lagi perlu meramal soalan dan topik yang akan diuji dan melaksanakan latih tubi bagi mengingati kandungan pelajaran.

“Sebaliknya murid akan dilatih untuk berfikir secara kritis dan mengaplikasi pengetahuan dalam situasi berbeza,” demikian menurut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Pelan itu dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini Jumaat.

Dalam menerapkan kemahiran berfikir aras tinggi, kurikulum peperiksaan dan pentaksiran untuk mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) juga akan dikaji semula.

Untuk itu, murid akan mendapat tambahan masa pengajaran dan penekanan terhadap aplikasi pengetahuan yang praktikal melalui amali makmal dan pembelajaran berasaskan projek, khusus bagi mata pelajaran Sains dan Matematik.

Dalam usaha memastikan setiap murid menguasai kemahiran bahasa Inggeris, Kementerian Pendidikan menetapkan bahasa Inggeris sebagai kertas wajib lulus di peringkat SPM bermula 2016.

Bagi membantu murid memenuhi keperluan itu, Kementerian Pendidikan akan melaksanakan Sistem Set iaitu membahagikan guru kepada kumpulan atau set tertentu bagi membolehkan mereka merangka pendekatan pedagogi yang sesuai dengan tahap kemahiran dan keperluan pembelajaran murid.

Bagi meningkatkan pengajaran bahasa Inggeris, semua 61,000 guru bahasa Inggeris juga diwajibkan mengikuti Ujian Penempatan Cambridge (CPT) dalam tempoh dua tahun.

Berhubung usaha melahirkan rakyat yang menghayati nilai sejagat, pelan itu menggariskan bahawa Pendidikan Agama Islam dan Pendidikan Moral perlu diperkukuh dengan tumpuan diberikan kepada perpaduan dan memupuk persefahaman yang erat antara murid.

Dengan itu, setiap murid sekolah rendah dan menengah perlu melibatkan diri dalam khidmat komuniti di mana elemen komuniti akan dijadikan prasyarat untuk kelulusan bagi sekolah menengah.

Selain itu, keperluan penyertaan murid dalam 1Sukan, 1Kelab dan 1Badan Beruniform juga akan diperkukuh, dan bagi meningkatkan kualiti aktiviti yang ditawarkan di sekolah, guru penasihat aktiviti akan diberi latihan bersasaran oleh kementerian.

“Kementerian juga akan mengkaji kemungkinan mewajibkan penglibatan ini sebagai syarat tamat pengajian dan pemberian biasiswa di peringkat pengajian tinggi,” menurut pelan itu. – BERNAMA

Lima Keberhasilan Diharap Dicapai Bagi Sistem Pendidikan Negara
KUALA LUMPUR: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 berhasrat untuk mencapai lima keberhasilan bagi sistem pendidikan Malaysia secara keseluruhan merangkumi akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan.

Menurut pelan itu yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pendidikan, kementerian berhasrat memastikan kadar akses sejagat dalam kalangan kanak-kanak dari peringkat prasekolah hingga ke peringkat menengah atas (Tingkatan 5) menjelang tahun 2020.

Dari segi kualiti, kementerian berharap kedudukan sistem pendidikan negara diletakkan dalam kelompok sepertiga teratas dalam pentaksiran antarabangsa mengikut pengukuran Kajian Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) dan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) yang menguji bacaan, Matematik dan Sains dalam tempoh 15 tahun.

Selain itu, jurang pencapaian antara murid bandar dengan luar bandar, tahap sosioekonomi dan pencapaian antara gender sehingga 50 peratus menjelang 2020 juga diharap dapat dirapatkan serta menjana suatu sistem pendidikan yang memberi peluang kepada murid berkongsi pengalaman berinteraksi dengan pelbagai etnik bagi memperkukuh asas perpaduan rakyat.

Dari segi kecekapan, walaupun kerajaan terus mengekalkan tahap pelaburan semasa, kementerian berhasrat untuk memaksimum keberhasilan murid mengikut tahap peruntukan semasa.

Selain keberhasilan sistem pendidikan, setiap murid juga perlu berupaya untuk bersaing pada peringkat global.

Oleh itu, sebanyak enam ciri utama membabitkan pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian, dan identiti nasional perlu ada pada setiap murid sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Dari segi pengetahuan, setiap kanak-kanak perlu menguasai sepenuhnya kemahiran literasi dan numerasi di peringkat paling asas serta pelbagai kemahiran kognitif termasuk penaakulan dan pemikiran kritis, kreatif serta inovatif dari segi kemahiran berfikir.

Mereka juga perlu menguasai bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan serta bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi antarabangsa serta digalakkan untuk mempelajari bahasa lain sebagai bahasa tambahan.

Di samping itu, setiap murid akan dibantu untuk mencapai potensi mereka dengan sepenuhnya melalui bekerja dalam pasukan dan mengamalkan ciri kepimpinan yang merangkumi keusahawanan, berdaya tahan, kecerdasan emosi, dan kemahiran berkomunikasi secara berkesan serta dibentuk sebagai individu penyayang yang dapat menyumbang kepada kesejahteraan komuniti dan negara dari segi etika dan kerohanian.

Selain itu, setiap murid dipupuk dengan semangat patriotik dengan cara memahami sejarah negara dan berkongsi aspirasi yang sama untuk masa depan negara kerana identiti nasional akan dapat dicapai bukan hanya belajar memahami dan menerima kepelbagaian tetapi juga menghayati kepelbagaian. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment