Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Tuesday, September 10, 2013

No Comment
Suria KLCC enggan mendedahkan kadar sewa yang ditetapkan oleh pusat membeli-belah itu kepada peniaga.

Restoran Kelantan Delights antara penyewa yang terpaksa keluar selepas 10 tahun menyewa di Suria KLCC kerana kadar sewa yang didakwa dinaikkan sehingga menjadi terlalu tinggi.

TINJAUAN Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk melihat kedudukan jenama tempatan di Pavilion dan Suria KLCC dan mendengar masalah peniaga tempatan di situ baru-baru ini membuktikan ada masalah yang dihadapi usahawan tempatan, terutama Bumiputera, untuk mendapatkan tapak di pusat membeli-belah terkemuka negara.

Menterinya, Datuk Hasan Malek berkata, pihak pengurusan pusat membeli-belah ternama dalam negara perlu membantu usaha meningkatkan jenama tempatan.

"Kami akan adakan rundingan dengan pihak pengurusan untuk bantu syarikat jenama Malaysia pasarkan produk dan perkhidmatan berkualiti, sekali gus mencapai situasi menang-menang antara pengusaha produk dan pengurusan kompleks," kata beliau.

Tetapi sejauh mana pemilik pusat membeli-belah terkemuka sanggup membantu jenama tempatan, terutama apabila banyak yang dilihat hanya memfokus kepada keuntungan semata-mata, seperti diceritakan beberapa usahawan tempatan.

Rakan kongsi Kelantan Delights, Juhaidi Yean Abdullah sebelum ini pernah menjalankan operasi selama 10 tahun di Suria KLCC sebelum terpaksa menutupnya berikutan kenaikan kadar sewa yang dianggapnya tidak munasabah.

Juhaidi berkata, kenaikan sewa yang mendadak sehingga 100 peratus adalah melampau dan menyebabkan rata-rata usahawan Bumiputera sedia ada menutup perniagaan.

Kadar sewa tak munasabah

Katanya, ketika mula beroperasi, kadar sewa yang dikenakan hanya RM14,000 sebulan dengan keluasan kedai 1,800 kaki persegi.

"Bagaimanapun selepas tiga tahun, sewa dinaikkan kepada RM30,000 sebulan. Jumlah itu masih boleh diterima dengan alasan mengikut harga pasaran semasa.

"Namun, tiga tahun kemudian, sewa dinaikkan lagi kepada RM56,000 sebulan," katanya.

Semasa bertemu dengan pihak pengurusan pusat membeli-belah itu bagi membincangkan isu harga sewa yang terlalu tinggi, beliau diberikan kata dua, sama ada membayar sewa ataupun berpindah keluar.

Juhaidi berkata, masalah sewa melampau ini perlu diatasi kerana jika dibiarkan, nasib usahawan Bumiputera tidak akan dibela.

"Bagi menangani masalah ini, usahawan juga perlu tahu siapa yang boleh bantu usahawan untuk atasi masalah ini. Adakah Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), persatuan dan kementerian yang tertentu (yang boleh membantu)?

"Kerajaan juga perlu wujudkan dasar untuk membantu usahawan tempatan, khususnya Bumiputera bersaing (di pusat membeli-belah terkemuka," katanya.

Pusat membeli-belah enggan komen

Sinar Harian cuba menghubungi beberapa pusat membeli-belah untuk mendapatkan komen mereka serta harga sewa kedai terkini namun jawapan mereka menghampakan.

“Maaf kami tidak boleh berkongsi maklumat ini," menurut pengurusan Suria KLCC.

Jawapan yang sama turut diberikan oleh pengurusan Mid Valley.

Bagaimanapun, hanya Empire Gallery di Subang Jaya sedia berkongsi maklumat dengan memaklumkan kadar sewanya ditetapkan serendah RM10 hingga RM30 bagi setiap kaki persegi mengikut lokasi kedai.

"Tetapi untuk menyewa, syarikat perlu mengemukakan profil syarikat terlebih dahulu kepada pihak pengurusan," menurut Empire Gallery.

Persoalannya, adakah kerajaan patut membuat satu dasar yang menuntut pusat membeli-belah terkemuka mengenakan kadar sewa lebih rendah kepada perniagaan tempatan, atau peniaga sendiri perlu lebih inovatif dan agresif dalam mengembangkan perniagaan?

0 comments:

Post a Comment