Pergerakan Puteri UMNO yang ditubuhkan secara rasmi pada Oktober 2000 dilihat sebagai satu ikon atau simbolik kepada perjuangan golongan wanita muda.
Selain itu, Puteri UMNO turut memainkan peranan yang penting bagi memantapkan barisan perjuangan UMNO yang sedia ada sejak 1946 sekaligus menjadi landasan kepada wanita Melayu muda untuk melibatkan diri secara aktif di dalam politik.
Mengetengahkan visi iaitu memastikan setiap wanita Melayu muda berumur 18 – 35 tahun menyertai Puteri UMNO dan mempertingkatkan jati diri mereka demi kepentingan agama, bangsa dan negara, ia harus dilihat secara lebih mendalam.
Namun, adakah visi penubuhan Puteri itu benar-benar dicapai?
Ini apabila ada suara di peringkat akar umbi yang merasakan diri mereka hanyalah ‘penyeri’ di dalam parti tersebut.
Secara kasar mungkin kita melihat fungsi kewujudan sayap Pemuda serta Wanita, namun di mana tunggak pergerakan Puteri yang dilihat mampu menawan hati golongan wanita muda.
Jika di peringkat Barisan Nasional (BN), kewujudan sayap Wanita serta Pemuda dilihat seiring bersama parti-parti komponen, tetapi kenapa tiada Puteri di dalam BN?
Itu perkara pertama. Timbul persoalan dalam diri penulis berkenaan Calon Exco Puteri dalam pemilihan UMNO 2013.
Kenapa ramai Exco Puteri dilihat menarik diri daripada terus mengekalkan kedudukan mereka?
Pastinya ada antara mereka yang sudah melebihi had umur, tetapi bagaimana pula dengan mereka yang masih layak bertanding merebut jawatan pada pemilihan parti pada kali ini tetapi lebih bertindak pasif, mendiamkan diri daripada mengekalkan kerusi mereka.
Apakah mereka merasakan Puteri UMNO tidak relevan bagi mereka? Apa yang cuba mereka sampaikan?
Pada mereka yang bakal bertanding pada pemilihan kali ini, adakah anda sudah cukup ‘grooming’ untuk menyahut jawatan dalam sayap Puteri?
Pengalaman dan kefahaman di peringkat cawangan, bahagian, negeri serta pusat adalah amat penting supaya tidak ada calon ‘payung terjun’ yang akan menempek di dalam parti.
Harapnya agar ada satu angin perubahan yang lebih mantap bagi memacu Puteri UMNO supaya dilihat sebagai satu sayap parti yang lebih unggul dan bukan hanya sebagai penyeri di dalam UMNO.
Dalam siri seterusnya, kita akan melihat secara terperinci biodata mereka yang layak untuk mengekalkan jawatan exco pada pemilihan kali ini tetapi lebih rela menarik diri dan memilih untuk hanya melihat. Apa punca serta alasan mereka?
Oleh: HARITS ASYRAF

0 comments:
Post a Comment