Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Tuesday, May 13, 2014

No Comment

SETELAH membuka ruang untuk kumpulan rock tampil membuat persembahan di Istana Budaya, kali ini muzik hip hop yang cukup sinonim dengan golongan urban pula bakal muncul di pentas yang cukup berprestij itu.

Menerusi Showcase Havoc @ Istana Budaya yang bakal berlangsung pada 22 Mei ini, para peminat akan dihiburkan dengan persembahan tiga artis hip hop terkenal tanah air iaitu Joe Flizzow, Altimet dan SonaOne.

Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, pihaknya membuka pintu kepada muzik hip hop untuk tampil di Istana Budaya kerana mahu memberikan kelainan kepada orang ramai.

“Sebenarnya showcase ini dibuat bagi menggantikan slot untuk pementasan teater Mata Hati yang dianjurkan oleh ZI Communication sepatutnya berlangsung pada tarikh berkenaan, tetapi ia terpaksa ditunda atas masalah yang tidak dapat dielakkan.

“Kemudian atas rasa tanggungjawab yang diberikan oleh pihak penganjur, mereka memberikan cadangan untuk menganjurkan pula sebuah showcase yang dibarisi penyanyi hip hop terkenal,” ujarnya dalam satu sidang akhbar baru-baru ini.

Ketika ditanya mengenai penerimaannya apabila pihak ZI Communication meluahkan hasrat mereka untuk membawa penyanyi hip hip ke Istana Budaya, beliau berkata, bahawa pihaknya berasa tertarik memandangkan ia julung-julung kalinya diadakan.

Menurutnya, pihak Istana Budaya sentiasa mengalu-alukan sesuatu yang baharu dan menampilkan kelainan dalam menyajikan pelbagai bentuk persembahan kepada para pengunjung.

“Sudah tentu saya berharap agar ini bukan kali pertama muzik hip hop bergema di pentas Istana Budaya. Selain itu, saya mahu muzik ini juga akan terus berkembang dengan lebih luas lagi.

“Walaupun ramai yang melihat muzik ini lebih dilihat kepada golongan urban, namun saya percaya semua golongan akan memberikan sokongan yang padu terhadap showcase ini nanti,” jelasnya.

Berkenaan dengan kawalan terhadap penonton yang akan datang menyaksikan persembahan tersebut, beliau yakin bahawa penonton dapat mengawal diri masing-masing dan berkelakuan baik.

“Dahulu saya pernah juga berasa bimbang ketika membawa muzik rock ke pentas Istana Budaya yang membabitkan konsert Wings. Bagaimanapun, saya berasa lega apabila melihat penonton yang hadir cukup berdisiplin dan mampu menjaga tingkah laku,” ujarnya.

Satu penghargaan

Bagi penyanyi hip hop popular, Joe Flizzow yang sebelum ini popular dengan kumpulan Too Phat, dia menyatakan bahawa dapat membuat persembahan di Istana Budaya merupakan satu penghargaan buat penyanyi hip hop seperti dirinya.

Menurut Joe, jika dahulu penyanyi-penyanyi hip hop sekadar mampu mengadakan persembahan di lokasi tertutup, tetapi kini peluang untuk beraksi di pentas yang berprestij itu merupakan pengiktirafan yang tersendiri.

“Sejak berkecimpung dalam dunia nyanyian hip hop pada tahun 1998, agak sukar untuk persembahan diadakan di kawasan terbuka, apatah lagi persepsi segelintir pihak yang beranggapan muzik ini hanya sesuai kepada golongan tertentu sahaja.

“Sekarang ini kami berasa cukup bertuah dengan peluang yang diberikan dan inilah masa yang paling sesuai untuk kami membuktikan yang hip hop ini sebuah muzik yang menarik menerusi persembahan kami yang terbaik,” luahnya.

Sementara itu, Altimet pula menyatakan peluang beraksi di pentas Istana Budaya dilihat sebagai satu mercu tanda muzik hip hop itu sendiri supaya berkembang dengan lebih luas lagi.

“Sebenarnya sejak lima tahun yang lalu kami sudah mempunyai perancangan untuk lebih aktif dalam arus perdana seperti menyertai Anugerah Juara Lagu atau Anugerah Industri Muzik dan kini kami melihat ia merupakan satu pencapaian yang positif,” ujarnya.

Bagi yang berminat untuk menyaksikan Showcase Havoc @ Istana Budaya, bolehlah mendapatkan tiket berharga RM380, RM280, RM220, RM180 dan RM100 di kaunter tiket di Istana Budaya atau menerusi laman web www.ezitix.net atau www.ticketpro.com.my.

Sumber: Kosmo

0 comments:

Post a Comment