Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Tuesday, May 13, 2014

No Comment

PEKAN – Perlaksanaan lesen motosikal di bawah Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M) yang disediakan di Pusat Latihan Memandu Pekan (PLMP) didakwa gagal terlaksana dengan baik.

Proses menyiapkan lesen telah mengambil tempoh yang terlalu panjang dengan pelbagai masalah serta karenah sehingga menyebabkan peserta sukar untuk memiliki lesen masing-masing.

Seorang kakak peserta, Rus Marini Muhd Maulana, 35, berkata adiknya Rus Marina, 21, mendaftar dan mengikuti kursus berkenaan sejak tahun lalu namun pelbagai isu berbangkit berkaitan prosedur yang dilaksanakan pusat berkenaan tidak dijelaskan dengan tepat kepada pelanggan.

Menurutnya, dia berasa hairan apabila perlu membuat pembayaran yang kerap dengan jumlah RM20 setiap pembayaran yang diminta tanpa disertakan dengan resit sebagai bukti pembayaran. Walhal sudah dimaklumkkan sebelum ini hanya sekali pembayaran sahaja yang perlu dibayar untuk keseluruhan kursus tersebut.

“Pada awalnya saya hanya beri sahaja wang yang diminta namun saya merasa hairan apabila adik saya meminta wang sebanyak RM 20 beberapa kali sedangkan pihak PLMP enggan memberikan resit pembayaran setiap urusan malah usaha mendapatkan lesen tidak juga selesai,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Rus Marini berkata, lesen L yang telah berjaya diperoleh adiknya dan peserta lain juga tidak diberikan malah pusat memandu berkenaan bertindak ‘menyimpan’ lesen tersebut.

“Mereka (PLMP) mendakwa mereka perlu memegang lesen L semua peserta bagi mengelak ia dihilangkan jika diserahkan kepada peserta sekali gus menyukarkan urusan mereka.

“Apa yang saya faham, lesen L wajib diserahkan kepada peserta dan menjadi kesalahan jika mereka atau sesiapa sahaja yang bukan pemilik sah lesen memegang atau menyimpannya,” katanya.

Menurutnya, tindakan berkenaan menyebabkan peserta yang memiliki motosikal menunggang dengan kesalahan tidak memiliki lesen sedangkan mereka sudah lulus dalam ujian dan berjaya memperoleh lesen L.

“Waktu setiap proses yang ditetapkan di dalam BL1M juga terlalu panjang sehingga mencecah setahun selain mendakwa banyak urusan tertunda disebabkan menunggu kelulusan dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan agensi lain yang berkenaan.

Sementara itu, Sinar Harian turut mendapatkan penjelasan daripada pihak PLMP yang terletak di Permatang Keledang namun pihak pengurusan meminta pihak Sinar Harian menghubungi Pengarah Urusannya, Azharudin Zamri Abdul Raub.

Azharudin yang dihubungi berkata, pihaknya maklum dengan semua kesulitan yang dialami peserta namun ia sukar untuk diatasi ekoran melibatkan pihak lain seperti JPJ.

Menurutnya, tarikh ujian dan sebagainya ditetapkan oleh pihak JPJ malah pihaknya perlu akur dengan tarikh yang dikeluarkan pihak yang lebih berkuasa dan perlu dipatuhi.

“Kita hanya menjalankan urusan yang diserahkan kepada pusat memandu seperti kelas dan sebagainya namun masalah tarikh ujian, penempatan peserta dan kelulusan bukan bawah bidang kuasa kami.

“Kami akui mungkin sukar untuk melaksanakan BL1M yang melibatkan beribu peserta dan pelbagai masalah timbul sepanjang menguruskannya, namun ia adalah satu tanggungjawab dari kerajaan yang tidak mampu ditolak,” katanya.

Beliau turut berjanji akan menyelesaikan perkara berkaitan BL1M ini dan berharap agar semua peserta dapat bersabar sementara dia merancang usaha untuk memberi penjelasan sewajarnya berkaitan prosedur pusat dan agensi kerajaan yang terlibat secara langsung.

Sumber: Sinar Harian Online

0 comments:

Post a Comment