KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa menggesa para pemimpin dunia supaya meletakkan nilai lebih tinggi dalam menghargai alam sekitar kerana masyarakat dan generasi akan datang bergantung kepadanya.
Perdana menteri berkata ini memerlukan suatu perubahan, bukan sahaja dalam budaya organisasi tetapi juga pemikiran.
“Pokok Cengal kita, seperti juga pokok Redwoods California, mungkin mengambil masa berkurun lamanya untuk menjadi sebesar saiznya, tetapi pokok itu boleh ditumbangkan dalam masa beberapa jam sahaja oleh kontraktor balak yang tidak bertanggungjawab dengan menggunakan gergaji.
“Sehingga kita memahami secara naluri bahawa dengan mengorbankan sumber sebegini untuk manfaat jangka pendek akan menjejaskan matlamat jangka panjang, kita tidak boleh mengharapkan untuk mencapai pembangunan lestari yang sebenar.
“Prinsip yang sama terpakai dalam dasar-dasar serantau dan global,” katanya semasa merasmikan Mesyuarat Ketiga Peringkat Menteri Forum Serantau Mengenai Alam Sekitar dan Kesihatan di Negara-negara Asia Tenggara dan Asia Timur, di sini. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment