ALOR SETAR – Seorang penternak lembu menangis selepas dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pagi ini atas tuduhan mengedar dan memiliki dadah dua tahun lalu.
Tertuduh, Ahmad Fadzil Hamzah, 34, yang merupakan bapa kepada dua orang anak dilihat terus memeluk ibunya, Siti Doyah Ahmad, 65, sebaik prosiding mahkamah selesai.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd. Zaki Abdul Wahab melepaskan Ahmad Fadzil daripada dua tuduhan itu selepas mendapati keterangan pembelaan tertuduh berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa mengedar 16.47 kilogram (kg)dadah terdiri daripada 16.32 kg heroin dan 149.6 gram monoacetylmorphines di dalam kereta jenis Mercedez Benz di tepi rumah No. 9, Kampung Baru, Sungai Kob, Kulim kira-kira pukul 1 petang, 5 Ogos 2011.
Pertuduhan kedua pula, Ahmad Fadzil dituduh memiliki dadah jenis kanabis seberat 84.8 gram di lokasi, tarikh dan masa serupa. – KOSMO!

0 comments:
Post a Comment