Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Tuesday, May 13, 2014

No Comment

YAN – Seorang pegawai Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) yang dikaitkan dengan sindiket poligami ekspres tampil membuat laporan polis bagi menafikan penglibatannya dalam isu terbabit.

Pengarahnya, Datuk Noh Dahya berkata, laporan berkenaan dibuat beberapa hari lalu untuk membersihkan semula nama serta melindungi diri individu terbabit sekali gus membantu siasatan pihak polis.

Menurutnya, mereka sedia bekerjasama dengan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjejaki dalang sebenar kepada kes itu supaya tidak berlarutan.

“Daripada hasil siasatan awal mendapati bukti ditemui memang sah, borang pernikahan itu palsu. Sebelum ini kita sudah ambil tindakan menggantung tugas jurunikah terbabit sejak dua bulan sehingga siasatan selesai. Namun dia masih meneruskan tugas sebagai imam.

“Tujuan tindakan diambil supaya sindiket itu tidak ada tempat untuk meneruskan kegiatan mereka kerana sebelum ini mereka bergantung kepada imam itu. Oleh kerana mereka mengambil kesempatan terhadap imam berkenaan, kita buat keputusan tarik semula tauliah nikahnya,” katanya kepada media di sini, semalam.

Noh berkata, syarat sah nikah dari segi hukum dan syarak nikah lengkap namun kes ini berkaitan syarak dan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kedah.

“Dari segi enakmen, kita anggap tidak sah, melanggar kesalahan di bawah enakmen terbabit. Dari segi syarak jika pernikahan tidak menepati rukun iaitu difahamkan dari kes ditemui tidak melibatkan wali, pernikahan tanpa wali sudah pasti tidak sah nikah itu.

“Kita sudah mengesan 68 kes tetapi mahu bukti 100 peratus memerlukan kepada pasangan berkenaan hadir ke Jaik untuk kita meneliti kedudukan proses pernikahan itu. Jika pasangan dari luar tidak mahu hadir ke Jaik, boleh berhubung dengan jabatan agama negeri masing-masing di bahagian undang-undang keluarga untuk mendapat pandangan serta nasihat,” katanya.

Beliau berkata, ada kes yang dikesan itu tidak mengikut hukum syarak.

“Jika tidak mengikut rukun, sudah pasti pernikahan tidak sah.

“Setakat ini kita hanya berjaya mengesan dua pasangan sahaja susulan aduan kes poligami. Jika mengikut undang-undang turut melakukan kesalahan sebab yang boleh memberi kebenaran poligami hanya mahkamah,” katanya.

Menurutnya, prosedur pernikahan perlu ada borang kebenaran pegawai agama daerah merujuk kepada sokongan kepada imam sebelah lelaki pengantin perempuan atau pengantin lelaki.

“Pengantin lelaki dapat sokongan daripada imam, hantar kepada pengantin perempuan, isi borang yang sama disahkan imam mungkin dara atau janda. Borang itu kemudian dihantar ke pegawai agama daerah.

“Pada ketika itu dikeluarkan sijil kebenaran nikah. Dalam kes ini sijil kebenaran yang digunakan palsu dan pegawai agama kita tidak terlibat,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, demi merahsiakan perkahwinan kedua daripada diketahui isteri pertama, segelintir individu dikesan menggunakan sindiket penjualan sijil nikah poligami yang menyerupai sijil yang dikeluarkan Jaik.

Menurut laporan itu, proses akad nikah pasangan itu dilakukan tanpa melibatkan wali terdekat dari pihak pengantin perempuan.

Sindiket berkenaan juga dipercayai aktif sejak beberapa tahun lalu dengan hanya mengenakan bayaran sekurang-kurangnya RM3,000 dan dikatakan mendapat sambutan hangat daripada mereka yang mahu berpoligami secara rahsia.

Difahamkan, sindiket itu bijak memancing pasangan berkenaan dengan mempercepatkan pengeluaran sijil nikah poligami beberapa hari sebelum akad nikah berlangsung.

Sumber: Sinar Online

0 comments:

Post a Comment