SEREMBAN – Bekalan air di Negeri Sembilan kini stabil dengan 80 peratus kawasan terjejas di Seremban Barat telah dapat dipulihkan manakala 20 peratus lagi mengalami masalah tekanan rendah.
Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kekurangan bekalan air itu berjaya diatasi menerusi beberapa langkah yang diambil, antaranya menyalurkan air dari loji Kuala Sawah ke Seremban.
Katanya sebanyak tiga juta gelen sehari telah dibekalkan ke kawasan Seremban bagi menampung kekurangan itu.
“Kita sedang memantau kawasan yang terjejas ini dan saya yakin kita boleh pulihkan dalam masa yang terdekat ini. Sehingga hari ini keadaan makin bertambah baik.
“Sebenarnya, kita tidak menghadapi krisis (air) yang teruk. Bagaimanapun, kita mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi kekurangan air jika musim kemarau ini berpanjangan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mohamad berkata daerah lain di negeri ini tidak mengalami gangguan bekalan air dan hanya kawasan Seremban Barat yang terjejas iaitu Taman Nusari Bayu, Taman Nusari Aman, Taman Sendayan Indah, Taman Cederawasih, Mambau, Taman Kelab Tuanku dan Bukit Sendayan.
“Sehingga kini kawasan berkenaan telah dapat dipulihkan bekalan air. Kita telah mengaktifkan pelan kontinjensi dengan menghantar lori tangki dan meletakkan tangki statik di kawasan terjejas. Gangguan bekalan air ini kini cuma melibatkan lebih 1,000 buah rumah,” katanya.
Sementara itu, Menteri Besar berkata paras air di empat daripada tujuh empangan di negeri ini didapati menurun tetapi belum sampai ke tahap kritikal ekoran tiada hujan sejak lebih sebulan lepas.
Empat empangan berkenaan ialah Sungai Terip, Kelinchi, Talang dan Gemencheh.
“Tiga empangan lagi iaitu Sungai Beringin, Ulu Sepri dan Triang adalah di paras melimpah,” katanya. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment