JERLUN – Nestle Malaysia dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) menandatangani memorandum persefahaman (MoU), bagi membolehkan mereka bekerjasama dalam usaha menambah baik kaedah penanaman padi.
Ketua Serantau Nestle Malaysia dan Singapura, Alois Hofbauer berkata menerusi kerjasama itu, mereka akan menjalankan penyelidikan saintifik bagi mempertingkat kaedah penanaman padi di sawah kontrak kepunyaan Nestle di Kedah.
“Penanaman kontrak ini dinamakan sebagai Kelab Padi Nestle. Nestle dan UTAR akan menjalankan penyelidikan dalam tiga bidang khusus iaitu alam sekitar, keselamatan dan agronomi yang melibatkan penyelidikan dari segi hasil pengeluaran padi.
“Kerjasama ini juga adalah cara terbaik untuk melindungi dan memelihara alam sekitar,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Beliau berkata langkah itu juga memberi peluang Nestle membantu golongan petani meningkatkan hasil padi di samping memelihara alam sekitar bagi kepentingan generasi akan datang.
“Sejajar dengan falsafah perniagaan Nestle iaitu ‘Menjana Nilai Bersama’, kami ingin membantu para petani dengan berkongsi pengetahuan serta kepakaran dalam bidang berkaitan penanaman padi,” kata Hofbauer.
Sementara itu, Pemangku Presiden UTAR, Prof. Ewe Hong Tat berkata kerjasama dengan Nestle melambangkan usaha sama strategik ke arah matlamat yang saling menguntungkan sekali gus meningkatkan bidang penyelidikan, pembelajaran dan pengajaran.
“Kita telah menjalankan penyelidikan saintifik selama dua tahun yang sah sehingga 2015 bagi mempertingkatkan kaedah penanaman padi, dalam usaha untuk memberi penyelesaian kepada masalah dihadapi oleh industri penanaman padi.
“Pelajar tahun akhir dari jurusan Alam Sekitar, Pertanian dan Petrol Kimia dapat turut serta dalam Kelab Padi Nestle untuk menjalankan penyelidikan bagi membantu mencari penyelesaian kepada masalah yang dihadapi golongan petani,” katanya.
Katanya program itu juga dapat memberi pendedahan kepada pelajar kerana peluang untuk turut terlibat dalam bidang pertanian itu tidak dapat dipelajari di dalam kelas.
Kelab Padi Nestle dilancarkan pada Februari 2012 sebagai inisiatif untuk bekerjasama dengan para petani melalui inovasi penanaman padi yang mampan, menggunakan pendekatan mesra alam bagi mengeluarkan bijirin bayi Nestle. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment