GEORGETOWN – Cubaan warga Indonesia menggunakan laluan tikus untuk pulang ke negara asal gagal apabila berjaya ditumpaskan anggota Pasukan Gerakan Marin (PGM) malam kelmarin.
Seramai 43 warga Indonesia termasuk seorang bayi lelaki dikatakan mengeluarkan perbelanjaan RM600 setiap orang untuk membolehkan mereka pulang ke Acheh dengan menaiki bot yang berulang alik untuk perniagaan tukar barang (barter trade).
Namun, tindakan itu berjaya ditumpaskan anggota PGM yang melakukan rondaan ‘Ops Tengo Papa’ di sekitar Pelabuhan Pulau Pinang kira-kira jam 8 malam kelmarin.
Difahamkan, setiap penumpang bot itu membuat bayaran itu kepada orang tengah yang kemudian mengarahkan mereka menunggu bot Indonesia yang menghantar barang untuk membawa mereka.
Walaupun sesetengahnya mempunyai pasport tetapi disebabkan prosedur yang sulit untuk pulang, mereka sanggup memilih cara mudah untuk pulang dalam keadaan berhimpit walaupun tempoh perjalanan mengambil masa dua hari.
Sementara itu, Ketua Bahagian Risik/Operasi PGM Wilayah 1, Deputi Superintendan Rosli Sufian, berkata, ketika mengadakan rondaan dengan bot RH35, anggotanya mengesan satu aktiviti mencurigakan sebelum melakukan pemeriksaan ke atas bot dikenali KM Seberang Jaya.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati 43 orang termasuk 11 wanita dan seorang bayi lelaki berusia setahun sedang duduk berhimpit di dalam bot sementara menunggu masa untuk berlepas.
“Bot yang sepatutnya digunakan untuk membawa barang, disalahgunakan untuk tujuan seludup manusia keluar dari Malaysia.
“Selain warga asing, pihak berkuasa menahan seorang tekong dan dua awak-awak serta menyita bot terbabit di Pangkalan PGM untuk siasatan lanjut,” katanya.
Rosli berkata, hasil pemeriksaan mendapati 25 warga Indonesia itu tidak mempunyai dokumen perjalanan sah. Namun, 18 orang yang ditahan mempunyai pasport.
“Mereka dipercayai menggunakan jalan pintas dengan melalui jalan tidak sah untuk pulang atau bercuti di kampung masing-masing.
“Semua yang ditahan berusia antara 20 hingga 40 tahun itu kini ditahan untuk proses dokumentasi sebelum mengambil tindakan lanjut,” katanya. – Sinar Harian Online
0 comments:
Post a Comment