Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Thursday, February 20, 2014

No Comment

KUALA LUMPUR – Seramai 16 pemain terbaik daripada Kejohanan Bola Sepak Piala Mamee 1Malaysia akan diberi peluang menjalani latihan selama seminggu di Manchester United Soccer School (MUSS) di Old Trafford, England, April ini.

Ketua Pegawai Operasi Yayasan Rakyat 1Malaysia, Ung Su Ling, berkata usaha itu adalah sebagai menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang mahu lebih ramai golongan belia diberi peluang menimba pengalaman bersama kelab bola sepak terkemuka di luar negara.

Beliau berkata, satu sesi pemilihan akan diadakan pada hari perlawanan akhir kejohanan bawah 19 tahun itu di Stadium Institut Penilaian Negara (INSPEN) di Bangi, Selangor, 2 Mac ini.

“Kita akan memanggil seorang bekas jurulatih kebangsaan bagi memilih pemain terbaik menerusi beberapa ujian dari segi kecergasan dan kemahiran,” katanya di sini hari ini.

Di samping menjalani latihan di MUSS, Ung berkata pemain juga berpeluang menyaksikan beberapa perlawanan membabitkan pasukan Manchester United di Stadium Old Trafford nanti.

Selain berpeluang menunjuk bakat bermain bola sepak, pemain juga berpeluang mengikuti klinik bola sepak bersama bekas legenda kelab ternama itu Quinton Fortune di sini, Selasa depan.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai kejohanan tersebut, Ung berkata tema kejohanan tersebut adalah ‘Bukan Hanya Sekadar Piala’ mengajak golongan belia bersukan bukan hanya mahu muncul sebagai juara di samping memupuk semangat setiakawan dalam kalangan belia pelbagai kaum di negara ini.
“Kita mendapat sambutan yang amat menggalakkan apabila sebanyak 80 pasukan dari seluruh negara menyertai kejohanan kali pertama ini yang bermula sejak November tahun lalu.

Beliau berkata, penonton bertuah yang hadir pada final juga berpeluang untuk merebut jersi yang ditanda tangani penyerang Manchester United, Robin van Persie.

Sebanyak 10 pasukan iaitu juara dan naib juara peringkat zon Utara, Timur, Selatan, Tengah dan Malaysia Timur akan bersaing pada pusingan grand finals selama empat hari mulai Isnin ini manakala final pada 2 Mac ini. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment