SHAH ALAM – Seorang bekas kerani bank dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, Jumaat atas dua pertuduhan menggunakan kad pengenalan palsu untuk membuka akaun bagi dua individu lain, empat tahun lepas.
Azrisham Abdul Aziz, 41, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim M.Bakri Abd Majid.
Dia didakwa menggunakan kad pengenalan palsu atas nama Ahmad SK Duis sebagai pengenalan diri untuk Maajis Senan, 70, bagi membuka akaun di Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd cawangan Kelana Jaya di atas nama dalam kad pengenalan palsu itu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di premis bank berkenaan di Petaling Jaya dekat sini pada 4.28 petang, 25 Mac 2010.
Azrisham juga didakwa menggunakan kad pengenalan palsu atas nama Sipah Binte Duis @ Sipak Binte Duez sebagai pengenalan diri untuk Yang Azizah Mohamed Yaccob, 73, bagi membuka akaun di bank sama atas nama kad pengenalan palsu di tempat, masa dan tarikh yang sama.
Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 Kanun sama yang memperuntuk hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Di mahkamah sama, dua lelaki iaitu Abdul Mubin Abu Bakar, 47, dan Roslisam Ali, 42, juga mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan bersubahat dengan Azrisham.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu dengan cara membekalkan kedua-dua kad pengenalan palsu berkenaan kepada Azrisham di daerah Petaling dekat sini, pada 25 Mac 2010.
Abdul Mubin yang menganggur dan Roslizam, peniaga, didakwa mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 dan Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntuk hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Hakim M.Bakri membenarkan ketiga-tiga tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM8,000 dan seorang penjamin dengan bon jaminan bercagar dan menetapkan Jumaat depan untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Anthony Kevin Morais, sementara Azrisham diwakili peguam Mohd Danish Abdullah manakala Abdul Mubin serta Roslisam diwakili peguam Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment