IPOH – Seorang pekerja ladang ternakan ayam maut akibat terkena tembakan semasa mengikut rakan majikannya berburu babi hutan di Bukit Kinding, Tanjung Rambutan, di sini, malam tadi.
Mangsa Muksimus Tuas, 34, warga Indonesia yang sudah bekerja selama enam tahun di ladang terbabit, mati akibat terkena tembakan senapang patah di dada.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa keluar berburu bersama rakan majikannya berusia 40-an di kawasan ladang kelapa sawit yang terletak kira-kira tiga kilometer dari tempatnya bekerja.
Ketika berada di satu kawasan semak, tiba-tiba mangsa dikatakan ditembak oleh rakan majikannya itu yang menyangkakan babi hutan.
Kejadian terbabit kemudian dilaporkan ke Balai Polis Tanah Hitam, di sini pada jam 12 tengah maLam tadi oleh dua rakan senegara mangsa selepas dimaklumkan isteri mangsa yang menetap bersama di ladang ternakan terbabit.
Suspek kemudian menyerah diri ke balai polis sama pada jam 1 pagi tadi bersama senapang patah serta peluru yang digunakan untuk berburu babi hutan. – BH Online
0 comments:
Post a Comment