BAGAN SERAI – Gara-gara membuat pusingan U secara mengejut, seorang lelaki maut setelah kenderaannya dirempuh oleh sebuah lori dari arah bertentang di Kilometer 115, Jalan Ipoh-Butterworth, berhampiran Kampung Sungai Rawa, di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, mangsa, P Ananthan,42, dari Simpang Ampat, Pulau Pinang mengalami kecederaan parah di kepalanya selepas kereta Nissan Cefiro dipandunya dikatakan terjunam ke dalam parit setelah dirempuh sebuah lori.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, mangsa yang sedang dalam perjalanan ke Parit Buntar dari arah Bagan Serai cuba membuat pusingan U di hadapan kawasan Kampung Sungai Rawa dan tindakan itu mengejutkan pemandu lori di belakangnya.
“Berdasarkan keterangan pemandu lori, mangsa dikatakan membuat pusingan U secara mengejut sehingga menyebabkan dia gagal mengelak kerana jarak terlalu dekat.
“Akibatnya, kenderaan mangsa dirempuh dan diseret lori terbabit sehingga menyebabkan kenderaan itu menjunam ke dalam sebuah parit berhampiran lokasi kejadian,” atanya ketika dihubungi, semalam.
Mat Fauzi berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala segera dikejarkan kce Hospital Parit Buntar untuk mendapatkan rawatan.
Katanya, bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 11.51 malam dan mayatnya sudah dituntut ahli keluarga.
Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan terperinci masih sedang dijalankan.
Sementara itu, saksi kejadian, Ridzuan Pak Long, 38, berkata, dia yang dalam perjalanan ke surau berhampiran dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat dari arah jalan raya.
Menurutnya, dia segera ke lokasi kejadian dan mendapati seorang pemandu kereta cedera parah dan tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.
“Mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Bagan Serai,” katanya. - Sinar Harian Online
0 comments:
Post a Comment