Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Thursday, January 30, 2014

No Comment

KUALA LUMPUR – Pasukan khas anti narkotik polis, Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (Sting) diwujudkan bagi mengekang pengedaran dan penyeludupan dadah ke dalam negara, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata pasukan ini akan mengenal pasti ‘kawasan hitam’ pengedaran dadah termasuk melibatkan kongsi gelap untuk ‘diputihkan’ selain mengambil tindakan ke atas pengedar dadah dan kongsi gelap mengikut undang-undang sedia ada iaitu Akta Dadah Berbahaya (ADB) dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) (LLPK).

“Pasukan itu juga akan mengesan dan menangkap anggota geng kongsi gelap yang menyeludup dadah dan senjata api ke Malaysia, dan akan bertindak membanteras pengedaran dadah di setiap peringkat iaitu negeri dan daerah,” katanya semasa melancarkan pasukan elit khas Sting, di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Mohamad Khalid Shariff dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim.

Beliau berkata pasukan itu juga akan menangkap pengedar dadah yang bolos untuk tindakan LLPK selain menangkap pengedar dan penyeludup dadah dari negara asing.

Ahmad Zahid berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menonjolkan komitmen yang tinggi apabila terdapat peningkatan tangkapan kesalahan jenayah narkotik sebanyak dua peratus pada tahun lepas, iaitu 175,198 orang berbanding 171,649 orang pada 2012.

Selain itu, tahun lepas nilai rampasan juga meningkat sebanyak enam peratus melibatkan rampasan barangan bernilai RM402.73 juta berbanding RM381.09 juta pada 2012, katanya.

“Berdasarkan pemerhatian, kita menyedari gejala dadah yang berlaku adalah seiring kepesatan pembangunan negara. Penagih dadah bukan lagi di lorong-lorong gelap seperti dahulu kala, tetapi kini sudah menjalar ke pusat hiburan, kediaman mewah dan bangunan pencakar langit,” katanya.

Pasukan elit Sting berpusat di ibu pejabat Bukit Aman akan diketuai Ketua Polis Negara dan menerima peruntukan daripada KDN untuk kenderaan RM5 juta serta kelengkapan pakaian bernilai RM4 juta.

Pada majlis pelancaran pasukan itu, beberapa pakaian khas pasukan itu dipamerkan termasuk pakaian unit penembak hendap atau sniper yang berpakaian celoreng digital hijau bagi tujuan memantau keadaan di tempat operasi dan bagi memastikan keselamatan anggota ketika serbuan.

Unit pemeriksaan serbuan dan forensik pula dilengkapi pakaian berwarna kuning anti kebakaran dan pencegahan bahan kimia berserta pemakaian topeng gas. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment