Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Friday, January 31, 2014

No Comment

ASIA menunjukkan pertumbuhan kukuh jumlah pelancong tahun ini yang bakal menyaksikan suntikan besar kapasiti oleh kebanyakan syarikat penerbangan tempatan dan Timur Tengah, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines (MAS) Ahmad Jauhari Yahya.

“Ini akan memberi tekanan ke atas kadar hasil yang membawa kepada tempoh mencabar pada masa hadapan.

"Antaranya persaingan sesama peserta antarabangsa dan domestik, perubahan dalam tingkah laku pengguna dan trend membeli serta pengurusan kos," katanya.

Menurutnya, cabaran utama MAS ialah untuk mengubah semua titik sentuh pelanggan, daripada prajualan sehinggalah pasca perjalanan, ke satu pengalaman yang lancar antara pengguna dan syarikat penerbangan itu.

Bagi MAS, Ahmad Jauhari berkata, syarikat itu menjangkakan momentum permintaan perjalanan kukuh tahun lalu akan berterusan tahun ini sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014.

Beliau berkata, syarikat penerbangan tempatan boleh memainkan peranan penting untuk menjayakan TMM 2014 dengan menarik dan membawa tetamu ke negara ini.

“Malaysia berada pada kedudukan baik untuk menyokong program antarabangsa seperti ini. Kami bekerjasama dengan Tourism Malaysia dalam pengiklanan dan penjenamaan aset kami termasuk pesawat, untuk menyokong inisiatif kebangsaan ini,” katanya.

TMM 2014 dijangka mencatat rekod baharu 28 juta pelancong luar yang berbelanja RM76 bilion tahun ini.

Mengenai rancangan pengembangan, MAS berhasrat menambah bilangan penumpang dan tempat duduk berdasarkan kilometer dalam seluruh rangkaian, sejajar dengan objektif TMM 2014.

“MAS akan menambah pesawat baharu dalam kumpulan pesawatnya pada tahun ini,” katanya.

Syarikat penerbangan nasional itu mencatat kemajuan yang ketara sepanjang tahun lalu dan memperoleh semula bahagian pasaran dalam negara, selain muatan laluan antarabangsa yang semakin tinggi, melebihi 85 peratus bagi setiap tempat duduk pada tahun lalu.

MAS mencatat kerugian sebelum cukai RM370.5 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2013 daripada perolehan sebanyak RM3.906 bilion. - Bernama

0 comments:

Post a Comment