Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Friday, January 31, 2014

No Comment

PENULIS lirik lagu Intifada dendangan kumpulan Rabbani, Sohibul Fadhil Sabikin, 55, dimasukkan ke Hospital Sg Buloh berikutan sakit buah pinggang serta penyakit sampingan lain, sejak dua minggu lalu.

Walaupun sudah dipindahkan daripada Unit Rawatan Rapi (ICU) ke wad biasa, keadaan kesihatan penerbit, komposer merangkap aktivis nasyid itu masih pada peringkat pemantauan.

Anak keempatnya, Muhammad Atoillah, 28, berkata bapanya dikejarkan ke hospital selepas mengadu sesak nafas dan terpaksa ditahan di ICU berikutan tahapnya yang agak kritikal ketika itu.

“Sejak kebelakangan ini ayah cepat letih ditambah serangan gout, darah tinggi serta hilang selera makan. Hampir dua bulan beliau tidak dapat ke pejabat memandangkan sakit buah pinggang yang dideritai sejak 2009 juga semakin melarat.

“Ia berpunca daripada demam kerana pada hari beliau mengadu sakit dada, keadaan ayah tampak sangat lemah. Ketika menerima rawatan kecemasan itu, kami difahamkan jantungnya terhenti selama 10 minit.

“Sekarang sudah nampak perubahan walaupun beliau masih lemah. Kami masih menunggu beberapa ujian untuk mengetahui tahap penyakitnya. Doktor menyatakan buah pinggangnya rosak dan mungkin memerlukan rawatan dialisis,” katanya ketika dihubungi HIP.

Raih pelbagai anugerah

Dalam arena nasyid, pengasas Nada Murni yang juga mentor Rabbani dan orang kuat di sebalik penubuhan banyak kumpulan nasyid popular tanah air termasuk Raihan itu cukup dikenali.

Melalui karyanya yang merentas alaf baru, menerusi gabungan bersama KRU, mereka menghasilkan lagu nasyid kontemporari seperti Intifada, Pergi Tak Kembali, serta senarai panjang dendangan lain, selain menerbitkan lebih 40 album Nada Murni, secara tidak langsung meletakkan nama Sohibul pada tahap tersendiri.

Tidak hairan, Pengarah Urusan Rabbani Media yang juga Presiden Persatuan Munsyid Malaysia itu meraih pelbagai pengiktirafan sama ada dari dalam mahupun luar negara. Baru-baru ini, ciptaannya, Mawar Berdarah nyanyian Rabbani dinobatkan sebagai Lagu Nasyid Terbaik pada Anugerah Industri Muzik Ke-20.

Pejuang nasyid sebenar

Sementara itu, wakil Rabbani, Azadan Abd Aziz, berkata sumbangan Sohibul terhadap perkembangan nasyid kontemporari sangat besar, malah biar kesihatannya tidak menentu sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beliau tetap gigih berkarya.

“Boleh dikatakan banyak kumpulan nasyid menempa nama di bawah kendaliannya. Beliau bukan saja mentor, sebaliknya kami menganggap dirinya sebagai saudara sendiri. Karya, cetusan idea serta sumbangannya tidak pernah berhenti dalam menyemarakkan dunia nasyid.

“Bagi kami, Sohibul ialah pejuang sebenar kerana beliau tidak pernah jemu atau cepat mengalah dalam melaksanakan misi meletakkan nasyid, yang suatu ketika dulu dikatakan hanya sesuai buat kelompok tertentu, ke tahap sekarang.

“Kami yang bekerja dengannya boleh nampak semangat itu tidak pernah luntur hingga sekarang. Kini, biar berdepan penyakit, beliau tidak pernah mengeluh atau menjadikan ia sebagai halangan. Kami akan cuba membantunya selagi terdaya,” kata Azadan yang merancang menubuhkan tabung sumbangan kilat bagi meringankan beban Sohibul.

Terdahulu, kira-kira lima tahun lalu bapa kepada 10 cahaya mata itu pernah koma selama dua minggu disebabkan jangkitan kuman dalam darah yang melarat ke buah pinggang, namun beransur pulih. – Berita Harian

0 comments:

Post a Comment