KOTA BAHARU – Polis Kelantan menubuhkan pasukan khas di bawah Op Cantas Khas Sempadan yang dianggotai 60 pegawai dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi mengumpul maklumat serta membanteras jenayah rentas sempadan.
Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata pasukan tersebut telah diatur gerak sejak tiga hari lepas bagi membantu tugasan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melaksanakan Op Wawasan dan Op Merpati di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan, sepanjang 145 kilometer dari Tumpat ke Jeli.
Katanya tumpuan akan diberi kepada aktiviti penyeludupan berisiko tinggi seperti senjata api, dadah dan pemerdagangan manusia.
“Pasukan ini ditugaskan untuk mengumpul maklumat berkaitan aktiviti jenayah dan kita telah mengenal pasti sindiket-sindiket yang sering terlibat dengan jenayah-jenayah tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis pelancaran Op Selamat 4 dan Penyerahan Kunci Unit Ronda Bermotosikal (URB) di Bandar Baharu Tunjong di sini, hari ini.
Jalaluddin berkata pasukan khas Op Cantas Khas Sempadan itu merupakan inisiatif polis Kelantan bagi mengekang jenayah di kawasan sempadan dan akan diselia oleh ketua polis daerah Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah dan Jeli.
Mengulas tentang Op Selamat 4 yang dilancarkan sejak Khamis lepas, Jalaluddin berkata pihaknya akan memberi tumpuan kepada pelbagai aspek keselamatan, antaranya di jalan raya, kediaman dan pusat tumpuan orang ramai.
“Kita akan fokus kepada tiga laluan utama untuk masuk ke negeri ini iaitu Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Jalan Grik-Jeli dan Besut-Pasir Puteh kerana kita menjangkakan ramai yang akan pulang bercuti sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina pada hujung minggu ini.
“Selain itu, kita akan memberi tumpuan kepada kediaman-kediaman yang telah didaftarkan dan polis akan cuba beri jaminan 100 peratus rumah pemilik tidak akan dipecah masuk,” katanya.
Jalaluddin berkata tumpuan juga akan diberikan kepada bank, kedai emas, kedai pajak gadai dan kawasan orang ramai bagi mengelak sebarang kejadian jenayah.
Pada majlis itu, sebanyak 34 buah motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki STD 250 diserah kepada Balai Polis Daerah Kota Baharu dan 17 buah motosikal jenis sama kepada Balai Polis Daerah Pasir Mas. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment