KULIM – Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kulim (JKM) memberikan bantuan segera bagi meringankan penderitaan Fatin Norshawani Abdullah, 11, yang menghidap leukemia sejak September tahun lepas.
Pegawai JKM Daerah Kulim Muhammad Md Nor berkata pihaknya hanya dapat mengesan penderitaan pelajar itu dan kesulitan hidup keluarganya setelah mendapat maklumat daripada seorang anggota jawatankuasa Umno Bahagian Padang Serai baru-baru ini.
Beliau berkata JKM segera turun padang untuk menghulurkan bantuan awal sebanyak RM300 dan seterusnya akan berusaha memberikan bantuan bulanan RM350 kepada keluarga itu.
Pelajar Sekolah Kebangsaan Sungai Karangan, Padang Serai dekat sini itu tinggal bersama datuknya, Ali Awang, 54, di kampung Sebelah Sekolah Cina, Sungai Karangan setelah ibu bapanya berpisah setahun lalu.
“Kami dimaklumkan pihak keluarga pelajar berkenaan ada membuat permohonan mendapatkan bantuan tetapi tidak berhasil, barangkali wujud kesilapan teknikal,” kata Muhammad.
Ibu pelajar itu, Norariah Manah, 30, yang turut hadir di rumah bekas mertuanya berkata anak sulungnya dikesan menghidap leukemia sejak 2 Sept 2013.
Katanya dia terpaksa berulang alik tiga atau empat kali sebulan untuk membawa anaknya mendapatkan rawatan kemoterapi di Hospital Pulau Pinang susulan rawatan terdahulu di Hospital Kulim.
Keadaan Norariah yang tidak bekerja menyukarkan lagi keadaan selepas dia terpaksa berhenti kerja kilang di Pulau Pinang kerana perlu membawa anaknya mendapatkan rawatan. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment