Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Tuesday, February 4, 2014

No Comment
Raja Dr Nazrin Shah bersalaman dengan Exco Negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin selepas Majlis Kesyukuran 30 Tahun Pemerintahan Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, semalam.
KUALA KANGSAR - Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bertitah kekayaan sumber negara khususnya di negeri ini harus diurus secara cekap, jujur dan berintegriti agar kemakmuran dan kehidupan majoriti rakyat dapat disejahterakan.

Titah baginda, ia perlu untuk memastikan keamanan yang dinikmati dan kesejahteraan rakyat di negeri ini terus terpelihara.

"Negeri Perak dan Malaysia telah dilimpahkan dengan nikmat kekayaan sumber dan hendaklah diuruskan secara cekap, jujur, telus lagi berintegriti agar negeri dapat dimakmurkan dan kehidupan majoriti rakyat dapat disejahterakan," titah baginda.

Ini adalah sebahagian daripada tujuh peringatan Sultan Azlan yang disampaikan Pemangku Sultan Perak, Raja Dr Nazrin Shah ketika bertitah mengenai tujuh peringatan ayahanda baginda sempena
ulang tahun ke-30 pemerintahan Sultan Azlan Shah.

Raja Dr Nazrin bertitah, Sultan Azlan Shah menitahkan supaya dizahirkan tujuh peringatan baginda kepada rakyatnya bagi memastikan kesejahteraan dan keamanan di Perak terus terpelihara.

Peringatan tersebut banyak menekankan aspek ketuhanan, perpaduan, amanah dalam melaksanakan tugas dan mensyukuri nikmat diberikan ALLAH kepada manusia.

"Perkara utama dalam peringatan yang dititahkan ayahanda itu adalah berpegang kepada prinsip ketuhanan di samping tidak melakukan kezaliman sesama manusia.

"Peringatan kedua pula adalah mengetahui bahawa setiap nikmat adalah anugerah ALLAH dan setiap insan wajib mengamalkan sifat bersyukur agar dikurniakan nikmat lebih besar.

"Ketiga, pangkat dan jawatan adalah anugerah tuhan dan hendaklah dipenuhi dengan penuh amanah, senantiasa mengingati akauntabiliti kepada rakyat dan juga kepada tuhan," titah Raja Dr Nazrin
pada Majlis Kesyukuran 30 Tahun Pemerintahan Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, semalam.

Sultan Azlan juga mengingatkan agar perpaduan rakyat hendaklah diutamakan dan tidak boleh dikompromikan kerana ia asas kekuatan negara yang telah memungkinkan kemerdekaan dicapai, ancaman komunis dimusnahkan, kemajuan dicipta serta kemerdekaan tanah air dapat dipertahankan.

“Keenam, mengamalkan pemerintahan berlandaskan undang-undang. Undang-undang tidak sahaja perlu digubal tetapi lebih penting untuk dihormati, dikuatkuasakan secara adil dan saksama, malah dipastikan kelihatan dilaksanakan secara adil, tanpa prejudis,” titah Raja Dr Nazrin.

Baginda bertitah, Sultan Azlan mengingatkan takhta pemerintahan sebenarnya menyempurnakan amanah berlandaskan prinsip Raja Berperlembagaan dan berfungsi sebagai tonggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan, payung penyatuan.

Raja Dr Nazrin bertitah, baginda dan kerabat mengulangi ikrar taat setia dan sedia menjunjung titah serta sedia melaksanakan perintah Sultan Azlan berlandaskan hukum dan adat.

“Kemuliaan dan nama baik Institusi Kesultanan Melayu Perak akan terus dipelihara bersama-sama demi memastikan tradisi negeri bersultan, rakyat beraja yang merupakan identiti sistem berkerajaan di bumi ini terus mendapat pengiktirafan dan penerimaan rakyat,” titah baginda.

0 comments:

Post a Comment