Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Tuesday, February 4, 2014

No Comment
Abdul Aziz (dua kanan) bersama pegawainya termasuk Mohd Nayan (kanan) dan Wan Rohamidun (kiri) menunjukkan sebahagian daripada barang curi yang berjaya dirampas daripada empat suspek terlibat.
KUANTAN- Empat penjenayah dipercayai anggota kumpulan pecah rumah ‘Geng Syafiq’ ditahan polis ketika singgah di sebuah hotel untuk berehat dua jam selepas berjaya memecah masuk rumah kontraktor di Lorong Cerating Perdana 9, Jalan Kuantan-Kemaman dekat Cerating, pagi kelmarin.

Kesemua suspek berusia 21 hingga 24 tahun termasuk ketua kumpulan ditahan di tempat letak kereta sebuah hotel di Cerating kira-kira jam 8 pagi hasil maklumat awam dan risikan anggota serbuan.

Hasil penahanan suspek yang berasal dari Felda Lepar Hilir 3, Paya Bongor, Kuantan  dan Seri Jaya, Maran itu, polis berjaya menemui dan merampas dua kereta, alatan pecah rumah, dan barangan curi yang dianggarkan bernilai lebih RM100,000.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan. Superintendan Abdul Aziz Ahmad berkata, hasil pemeriksaan ke atas dua buah kereta jenis Proton Saga FLX yang dinaiki suspek mendapati kenderaan itu pernah dilaporkan hilang di Gambang dan Kuantan sebelum ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut ke atas kedua-dua kereta tersebut, polis menemui peralatan pecah rumah, sejumlah barang kemas, jam tangan, rokok, tabung duit syiling, tiga kumputer riba, tiga televisyen LCD, senapang tiruan, beg tangan wanita, buku bank, beberapa telefon bimbit, kunci kereta, pemain DVD dan wang tunai RM600.

“Polis turut menemui sejumlah dadah jenis eramin 5 daripada salah seorang suspek yang ditahan.

“Hasil semakan rekod jenayah lampau, dua suspek termasuk ketua kumpulan kedua-duanya berusia 24 tahun didapati pernah terlibat dalam jenayah dan dikehendaki polis,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Abdul Aziz berkata, ketua kumpulan yang berasal dari Taman Dinding, Seri Jaya, Maran pernah terlibat dalam kes curi dalam bangunan, pernah dipenjara dua bulan kerana melakukan kelucahan melampau dan kes memiliki dadah.

“Manakala rakannya dikehendaki polis kerana disyaki terbabit dalam empat kes jenayah termasuk mendatangkan kecederaan, curi dalam bangunan, pecah rumah dan ugutan jenayah,” katanya.

Menurutnya, semua suspek yang ditahan juga didapati positif dadah jenis methamphetamine hasil ujian air kencing yang dijalankan.

“Hasil soal siasat ke atas suspek, polis percaya berjaya menyelesaikan enam kes pecah rumah dan dua kes curi kenderaan yang dilaporkan berlaku sekitar Kuantan sebelum ini,” katanya.

Abdul Aziz berkata, berdasarkan siasatan pihaknya, Geng Syafiq itu bergiat aktif dalam kes pecah rumah sejak beberapa bulan lalu melibatkan kawasan sekitar Kuantan termasuk Gambang, Beserah dan Cerating.

“Mereka didapati menjadikan rumah yang ditinggalkan pemilik sebagai sasaran sebelum memecah masuk dan mencuri barang berharga mangsa termasuk kereta atau motosikal.

“Semua suspek kini ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan termasuk kemungkinan penglibatan mereka dalam beberapa kes lain sebelum ini.
“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 457 dan 379 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan curi kenderaan,” katanya.

Mengulas berhubung kejayaan pihaknya menangkap empat penjenayah itu, Abdul Aziz berkata, polis dari Balai Beserah menerima laporan daripada seorang kontraktor berusia 45 tahun memaklumkan rumahnya di Lorong Cerating Perdana 9, Jalan Kuantan-Kemaman dipecah masuk pencuri.

Abdul Aziz berkata, pengadu yang sedang bercuti di kampungnya di Kerteh, Terengganu sejak 31 Januari lalu dimaklumkan oleh jirannya kira-kira jam 6 pagi berhubung kejadian pecah rumah yang berlalu.

“Atas sikap prihatin jiran terbabit, pengadu pulang ke rumahnya dan mendapati ada kesan dipecah masuk manakala sebuah motosikal jenis Yamaha 135Z, peralatan elektrik termasuk TV LCD, telefon bimbit dan kunci lesap.

“Pengadu membuat laporan polis dan susulan maklumat diterima, sepasukan anggota polis diketuai pegawai penyiasat, Inspektor Mpohd Nayan Mokhtar dan Ketua Balai Polis Beserah, Cif Inspektor Wan Rohamidun Wan Ishak melancarkan gerakan memburu suspek sebelum mengesan mereka di tempat letak kereta sebuah hotel di Cerating,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan penemuan barangan curi dalam kenderaan tersebut, polis tidak menolak kemungkinan empat penjenayah terbabit melakukan beberapa kes pecah rumah di kawasan lain sebelum menceroboh masuk rumah pengadu.

“Kita percaya ada barangan yang dicuri sudah terlepas ke tangan pelanggan berdasarkan penemuan sejumlah wang kertas bersama suspek.

“Kita juga sedang mengenal pasti sekiranya ada laporan polis dibuat dalam masa terdekat yang kemungkinan mempunyai kaitan dengan kumpulan ini,” katanya. - Sinar Harian Online

0 comments:

Post a Comment