KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mendesak Kementerian Pendidikan supaya memecat seorang guru lelaki yang mendenda anak muridnya seperti seekor lembu kerana tidak menyiapkan tugasan sekolah.
Ketua Wira Perkasa, Irwan Fahmi Ideris berkata walaupun guru berusia 26 tahun itu telah ditukarkan ke sekolah lain dan meminta maaf terhadap insiden itu, namun ia tidak memadai.
“Perbuatan guru itu sangat biadab dan tidak layak digelar warga pendidik kerana melakukan perbuatan sedemikian.
“Guru itu seharusnya adil dan saksama dalam mengenakan hukuman terhadap murid-muridnya dan tidak memilih bulu,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini hari ini.
Beliau berkata walaupun guru itu telah bertukar di sekolah lain, dikhuatiri perbuatan yang sama akan berulang.
Perkasa turut menyerahkan video rakaman percakapan mangsa denda guru itu, yang menceritakan bagaimana perbuatan itu diperlakukan terhadap mereka, kepada polis untuk disiasat.
Pada Khamis lepas, empat murid tahun empat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Khai Meng, Sungkai, Perak, gagal menyiapkan tugasan yang diberi oleh guru Bahasa Inggeris mereka.
Sebagai hukuman, guru itu menggantung loceng di leher Muhammad Nasvinder Muhammad Amit dan Mohd Izat Iqbal Mohd Harith masing-masing, 10, serta memaksa mereka memakan rumput manakala dua lagi murid tidak didenda dan difahamkan mereka tidak sihat serta mempunyai surat doktor.
Di KUALA TERENGGANU, Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) melahirkan rasa tidak puas hati kerana guru terbabit hanya ditukarkan ke sekolah yang jaraknya hanya sekitar 35 kilometer dari sekolah asal.
Setiausaha Agung Gagasan Syed Anuar Syed Mohamad berkata Gagasan berpendapat tindakan itu tidak memadai dan tidak berpadanan dengan kesalahan yang dilakukan.
Sepatutnya, kata beliau, guru berkenaan ditukarkan ke pedalaman sebagai pengajaran dan ingatan agar insiden itu tidak berulang.
“Ini kerana jelas dia telah merosakkan profesion perguruan, meninggalkan kesan psikologi terhadap kedua-dua murid terbabit dan menjejaskan keharmonian kaum di negara ini,” kata Syed Anuar kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata adalah lebih baik guru-guru yang produktif, berwibawa dan komited terhadap profesion perguruan yang kini masih banyak terdapat di pedalaman Sabah, Sarawak dan Semenanjung ditukarkan serta diganti dengan guru bermasalah seperti itu.
“Gagasan juga meminta bukan hanya murid terbabit dikenakan khidmat kaunseling, tetapi guru terbabit juga sepatutnya diberi kaunseling dan
dikuarantin di Pejabat Pendidikan Daerah sebelum ditukarkan ke sekolah lain,” katanya. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment