PUTRAJAYA – Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) berjaya menarik RM10.7 bilion pelaburan dan mewujudkan 18,403 pekerja tahun lepas dengan sebahagian besar pelaburan meliputi sektor perkilangan dan pelancongan.
Pada 2012, koridor itu memperoleh RM12.3 bilion pelaburan.
“Penyertaan sektor swasta tempatan dalam wilayah ekonomi itu adalah pada tahap tertinggi selepas merekodkan paras 61.7 peratus tahun lepas, lonjakan besar berbanding 39 peratus pada 2012,” kata Pengerusi Eksekutif NCIA Datuk Redza Rafiq kepada media selepas mesyuarat majlis NCIA ke-11 yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di sini hari ini.
Beliau berkata koridor itu melaksanakan 26 projek dengan sektor swasta termasuk 18 dalam sektor pembuatan, empat pelancongan, tiga pertanian dan satu dalam logistik dan mewujudkan limpahan RM2.3 bilion kepada perniagaan tempatan dan masyarakat sepanjang tahun lepas.
Beliau berkata perkilangan dan pelancongan merupakan penggiat utama, menyumbang masing-masing 66 peratus dan 32 peratus kepada prestasi keseluruhan koridor itu pada 2013, dan menambah beliau menjangkakan trend itu akan berterusan tahun ini.
Bagi 2014, Redza berkata koridor itu dijangka menarik pelaburan bernilai RM10 bilion dan mewujudkan 8,000 pekerjaan, didorong sebahagian besarnya oleh perkilangan dan pelancongan.
Redza berkata industri pelancongan akan terus berkembang tahun ini disokong oleh sumbangan 32 peratus kepada jumlah pelaburan tahun lepas, yang lebih tinggi berbanding pertanian, selain sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2014.
“Walaupun kami menetapkan sasaran yang lebih rendah tahun ini, kami menjangkakan momentumnya kekal positif berdasarkan prestasi baik kami pada 2013 apabila berjaya memperoleh pelaburan tambahan sebanyak RM700 juta daripada sasaran asal sebanyak RM10 bilion,” katanya.
Pada acara yang sama. Najib turut menyaksikan majlis pertukaran dokumen dengan empat syarikat, Inokom Corp Sdn Bhd, Telekom Malaysia Bhd, B. Braun Medical Industries Sdn Bhd and Yayasan Kemajuan Sosial Malaysia.
“Kesemua empat syarikat – daripada sektor automotif, telekomunikasi, peranti perubatan dan pertanian – melabur sejumlah RM1.93 bilion di wilayah itu dan meluaskan perniagaan dengan membina kilang baharu serta meneroka peluang baharu di wilayah itu,” katanya. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment