KUALA LUMPUR – Kerajaan masih belum mengeluarkan sebarang arahan kepada syarikat konsesi berhubung sebarang perubahan kadar tol, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof.
Malah, katanya, Jawatankuasa Khas Kabinet yang ditubuhkan kerajaan yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang mengkaji secara holistik implikasi kenaikan kos sara hidup rakyat termasuk yang membabitkan isu tol.
“Isu kadar tol akan naik pada tahun 2014 masih sedang hangat diperkatakan. Saya ingin menjelaskan bahawa kerajaan masih belum mengeluarkan sebarang arahan kepada syarikat konsesi mengenai apa juga perubahan kadar tol,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Media pada 14 Disember lalu melaporkan kerajaan terpaksa membelanjakan RM400 juta sebagai pampasan kepada syarikat konsesi lebuh raya jika mereka diberi kelonggaran untuk menangguhkan kenaikan kadar tol yang sepatutnya disemak tiga hingga lima tahun sekali.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Abdul Wahid Omar dipetik berkata, pampasan tersebut merupakan satu jumlah yang tinggi berikutan kenaikan kadar tol telah termaktub dalam setiap perjanjian konsesi.
Justeru, kata beliau, sudah sampai masa untuk kerajaan mengotakan perjanjian yang telah dipersetujui dengan syarikat-syarikat konsesi itu dengan membenarkan mereka menaikkan kadar tol.
Fadillah pada tahun lalu juga pernah memaklumkan terdapat semakan semula struktur kadar tol pada tahun ini, namun keputusan sama ada keperluan menaikkan kadar tol itu bergantung kepada keputusan Jemaah Menteri.
0 comments:
Post a Comment