Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Tuesday, January 28, 2014

No Comment
Penubuhan Unit Polis Syarie tidak akan menyelesaikan masalah umat Islam di Malaysia, kata Tun Dr Mahathir Mohamad. Gambar fail.

Tun Dr Mahathir Mohamad menolak cadangan penubuhan Unit Polis Syarie yang diumumkan Putrajaya baru-baru ini kerana ia tidak akan dapat menyelesaikan masalah umat Islam di Malaysia.

Bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu berkata, Islam juga tidak memaksa umatnya untuk melakukan sesuatu ibadah dan apa yang paling penting adalah kepercayaan dan keimanan.

"Secara terus-terang saya menyatakan saya tidak bersetuju dengan cadangan ini," tulis Dr Mahathir dalam blognya www.chedet.cc, hari ini.

"Tidak ada paksaan dalam Islam. Janganlah kita jadikan agama Islam agama 'Police State’,” katanya.

Dr Mahathir berkata, beliau juga mengamalkan apa yang dituntut agama seperti sembahyang, puasa, zakat dan haji.

"Bukan kerana polis akan tangkap saya jika saya tidak. Saya mengucap dua kalimah syahadah juga bukan kerana takut ditangkap.

"Saya tunaikan apa yang diwajibkan ke atas saya kerana saya beragama Islam, kerana kepercayaan dan iman," katanya.

Beliau turut menggesa cadangan tersebut dikaji dengan mendalam memandangkan wujud perbezaan undang-undang dalam setiap negeri di Malaysia.

"Cadangan untuk mengadakan polis Islam untuk menguatkuasakan undang-undang Islam perlu dikaji dengan mendalam.

"Undang-undang Islam di semua negeri di Malaysia tidak sama. Pelaksanaannya juga tidak sama," katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, tidak semestinya anggota polis yang diberi tanggungjawab dalam Unit Polis Syarie arif dengan perkara yang dikendalikannya.

"Anggota polis tidak mungkin terdiri daripada yang arif dalam agama Islam. Di antara ulama pun terdapat perbezaan pendapat," katanya.

Secara sinis, Dr Mahathir menyoal sama ada selepas ini kerajaan akan mewujudkan pengasingan antara lelaki dan perempuan walaupun di pasar atau memperkenalkan peraturan tertentu yang menyekat umat Islam di Malaysia.

"Di sebuah negeri wanita dengan lelaki perlu diasingkan di pasar umpamanya. Akan ada wanita yang membeli-belah bersama suami. Apakah mereka mesti diasingkan bila membeli-belah?

"Di negeri lain tudung mungkin diwajibkan. Seluar mungkin terlalu ketat. Soalnya setakat mana longgar yang dibenarkan oleh polis," katanya.

Beliau juga tidak menolak mungkin akan timbul ketegangan di antara orang Islam dan bukan Islam apabila Unit Polis Syarie ditubuhkan.

"Tentu akan ada desakan yang bukan Islam juga perlu dipengaruhi dengan piawaian Islam.

"Maka akan berlakulah ketegangan antara orang Islam dan bukan Islam," katanya.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata penubuhan Unit Polis Syarie adalah untuk membantu jabatan agama mengekang ajaran sesat.

Sabtu lalu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustafa, berkata Unit Polis Syarie akan dimuktamadkan selepas perbincangan mengenai skop tugas dan bidang kuasanya selesai tidak lama lagi.

Bagaimanapun, pakar perlembagaan menegaskan tindakan itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana agama Islam merupakan urusan negeri dan ia akan bertentangan dengan tugas polis. - 28 Januari, 2014.

0 comments:

Post a Comment