BANGKOK – Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand semalam mencadangkan agar pilihan raya umum yang dijadual pada minggu hadapan ditangguhkan untuk tempoh sekurang-kurangnya sebulan lagi.
Saranan itu ekoran lebih banyak pertumpahan darah diramal menyusul selepas beberapa serangan yang berlaku sejak beberapa minggu lalu.
Suruhanjaya tersebut dijadualkan menemui Perdana Menteri Sementara Thailand, Yingluck Shinawatra hari ini bagi membincangkan tarikh pilihan raya yang baharu selepas Mahkamah Perlembagaan membenarkan ia ditangguhkan.
“Sebagai pegawai pilihan raya, sudah menjadi tugas kami untuk memastikan pilihan raya berjalan dengan lancar dan kami juga mahu memastikan negara ini aman sebelum proses berkenaan dilaksanakan.
“Kami tidak mahu tragedi berdarah tercetus semasa pilihan raya ini,” kata seorang pegawai Suruhan- jaya Pilihan Raya, Somchai Srisut- thiyakorn.
Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Jarupong Ruangsuwan berkata, kerajaan tidak akan tunduk dengan desakan tersebut dan akan meneruskan proses berkenaan mengikut jadual.
“Kami mesti meneruskan pilihan raya umum yang dijadualkan pada 2 Februari depan.
“Sebarang penangguhan adalah sia-sia dan akan memberi lebih banyak masa kepada penunjuk perasaan untuk menyerang kerajaan,” kata beliau yang juga ketua parti pemerintah, Parti Puea Thai.
Dalam pada itu, proses pengundian awal yang berlangsung kelmarin terjejas apabila penunjuk perasaan menawan beberapa pusat pengundian manakala seorang pemimpin pembangkang maut, Suthin Tharatin selepas ditembak penyerang tidak dikenali.
Kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan mendesak supaya Yingluck meletak jawatan untuk memberi laluan kepada pembentukan sebuah kerajaan baharu dengan anggota-anggota Kabinet yang dilantik bagi melaksanakan beberapa pembaharuan termasuk membasmi rasuah.
Yingluck membubarkan Parlimen lebih awal bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan pada 2 Februari depan untuk meredakan konflik politik dalaman Thailand.
Namun, tindakan itu dibantah penunjuk perasaan antikerajaan dan pembangkang yang bimbang beliau akan kembali berkuasa.
Para penunjuk perasaan itu menuduh Yingluck menjadi boneka abangnya, bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra yang kini hidup dalam buangan di luar negara.
Pihak tentera menggulingkan Thaksin pada tahun 2006 selepas terdapat dakwaan pemerintahannya dicemari rasuah dan penyalahgunaan kuasa. – Reuters
0 comments:
Post a Comment