Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Wednesday, January 8, 2014

No Comment

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar memberi tempoh tujuh hari kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menjawab semua soalan yang dikemukakan pihaknya melalui satu surat berhubung pembangunan di lereng Bukit Gasing di sini.

Beliau mendakwa, surat yang ditujukan kepada Datuk Seri Ahmad Phesal Talib itu antara lain meminta DBKL menyerahkan satu salinan permohonan pengazetan bagi kawasan tersebut dan menjelaskan siapa yang memberi kelulusan kepada projek Saville@The Park, Bangsar.

“Saya telah menghantar sepucuk surat meminta Datuk Bandar Kuala Lumpur menyerahkan sesalinan permohonan pengazetan kawasan tersebut dan menjelaskan siapakah yang memberikan kelulusan kepada projek Saville@The Park.

“Saya turut meminta Datuk Bandar membekalkan saya minit mesyuarat pendengaran awam terlibat dan memberi sebab mengapa kelulusan diberikan sedangkan terdapat bantahan terhadap projek tersebut semasa pendengaran awam Pelan Draf Kuala Lumpur,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Nurul Izzah mendakwa, Bukit Gasing adalah antara jajaran kawasan hijau terakhir di Kuala Lumpur dan DBKL pernah memaklumkan memohon umenggazetkan tanah awam sebanyak 52.6ha sebagai kawasan hutan simpan pada Disember 2010.

Bagaimanapun, dakwa beliau, Unit Perancang Ekonomi meluluskan pembangunan di lereng Bukit Gasing dengan mengurangkan kawasan ‘buffer zone’ bagi membolehkan syarikat Amona Metro Development Sdn.Bhd. melaksanakan projek Saville@The Park di Bukit Gasing.

Beliau dalam kenyataan sama turut meminta DBKL memantau projek-projek di sekitar kawasan Bukit Gasing berikutan masalah banjir lumpur yang sering melanda kawasan-kawasan berhampiran.

Dakwanya, masalah lumpur itu mengakibatkan sistem saliran di kawasan berhampiran tersumbat dan mendatangkan kesukaran kepada penduduk setempat.

“Saya meminta jasa baik DBKL memberi perhatian segera terhadap perkara ini dan memberikan respons kepada pihak kami dalam masa seminggu dari tarikh 7 Januari 2014,” katanya.

0 comments:

Post a Comment