Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Wednesday, January 8, 2014

No Comment

BUTTERWORTH – Impian 13 warga Indonesia yang ingin pulang ke kampung halaman musnah apabila semua ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang atas kesalahan menggunakan cop pasport palsu melalui Operasi Bersepadu yang dijalankan kelmarin.

Operasi yang bermula kira-kira jam 3 petang itu turut dijalankan di tiga lagi lokasi berasingan menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan seramai 39 orang yang berusia antara 40 tahun dan bayi perempuan berusia tujuh bulan.

Pengarah Jabatan Imigresen Pulau Pinang, Hasbullah Abdul Rashid berkata, tangkapan pertama dibuat pada jam 5 petang membabitkan lapan wanita manakala lima lelaki ditahan jam 9 malam di pintu pelepasan lapangan terbang terbabit.

“Pemeriksaan mendapati, kesemua yang terlibat menggunakan cop pasport palsu manakala salah seorang daripadanya memiliki pasport palsu.

“Kesemuanya ditahan di bawah Seksyen 56(1) (I) Akta Imigresen kerana memiliki cop palsu dan Seksyen (12) (1) (a) Akta Pasport kerana memiliki pasport palsu,” katanya dalam sidang media di Pejabat Imigresen di Seberang Jaya.

Beliau berkata, pihaknya percaya penggunaan cop palsu itu dijalankan sindiket tertentu yang menjadikan warga asing yang ingin pulang ke negara asal sebagai sasaran.

“Kebanyakan warga asing yang telah bekerja lama di sini ingin balik kampung dan ahli sindiket ini akan mengenakan bayaran bagi mengatur urusan pasport mereka.

“Berdasarkan pemeriksaan melalui kamera litar tertutup (CCTV), kelihatan warga asing di lapangan terbang didekati beberapa individu yang dipercayai menguruskan pasport warga asing yang ditahan.

“Justeru itu pantauan akan ditingkatkan di balai ketibaan dan pintu pelepasan untuk memastikan kegiatan ini dapat dibanteras,” katanya.

Dalam operasi sama, pemeriksaan turut dijalankan di sebuah kilang kayu di Juru yang mana empat warga Nepal ditahan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

Tiga lelaki warga Myanmar pula ditahan di stesen minyak di Bukit Tengah kerana tinggal lebih masa sebelum operasi diteruskan di Flat Taman Bukit Juru pada jam 10 malam.

Hasil pemeriksaan di flat terbabit, seramai 19 warga asing yang ditahan termasuk bayi perempuan berusia tujuh bulan atas pelbagai kesalahan.

Pemeriksaan berjalan lancar walaupun terdapat beberapa warga asing yang enggan membuka pintu manakala seorang warga Bangladesh cuba bersembunyi dalam almari bagi mengelak dari ditahan.

“Operasi di kawasan perumahan ini melibatkan kerjasama orang ramai yang membuat aduan berikutan bimbang akan keselamatan mereka.

“Kebanyakan warga asing yang tinggal di sini dikatakan mengganggu ketenteraman awam dan kesemua dibawa ke Depoh Tahanan Juru untuk siasatan lanjut,” katanya. – Sinar Harian Online

0 comments:

Post a Comment